'Hormati privasi keluarga', polis beri amaran jangan sebar video mangsa nahas pesawat 


  • Primer
  • Ahad, 20 Ogos 2023

Ayob Khan menyeru agar masyarakat menghormati privasi keluarga mangsa nahas pesawat Beechcraft 390 (Peremier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie, berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis lalu.

POLIS memberi amaran kepada orang awam agar tidak menyebarkan video mangsa nahas pesawat Beechcraft 390 (Peremier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie, berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mana-mana pihak yang masih berdegil bakal berdepan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Saya nak seru kepada masyarakat jangan tularkan benda-benda ini, hormatilah privasi keluarga mangsa.

"Jangan sebarkan video-video ini, kalau ada salurkan kepada pihak polis. Macam-macam teori yang ada dan sebab itu saya katakan jangan buat spekulasi, biar pihak berkaitan buat siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, Selangor pada Khamis.

Beliau menghadiri majlis pengebumian Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun yang turut terkorban dalam nahas berkenaan.

Katanya, setakat ini pihak polis mengambil keterangan tiga individu yang terlibat dalam penyebaran video nahas berkenaan selain tidak menolak kemungkinan individu lain akan dipanggil berdasarkan kesesuaian dan permintaan untuk membantu siasatan.

Sementara itu, 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat tersebut.

Lapan yang meninggal dunia terdiri daripada enam penumpang dan dua juruterbang pesawat ringan itu, manakala dua lagi ialah orang awam, masing-masing penghantar makanan bermotosikal dan pemandu e-hailing yang berada di kawasan nahas.

Ketika kejadian, pesawat malang berkenaan dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang itu pada pukul 2.48 petang. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram