KOTAK perakam suara kokpit (CVR) pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas dekat Persiaran Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis lalu kini berada di Singapura bagi membolehkan pihak berkuasa mengeluarkan data daripada alat berkenaan.
Langkah itu diambil selepas alat tersebut mengalami kerosakan teruk akibat impak nahas yang berlaku.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, CVR tersebut dibawa ke Singapura kerana Malaysia tidak mempunyai kepakaran mengeluarkan data berada dalam komponen dikenali sebagai ‘memory puck’ yang menyimpan maklumat rakaman suara 30 minit terakhir di kokpit.
“Brigadier Jeneral Tan Chee Kee yang mewakili Biro Siasatan Keselamatan Udara (BSKU) kini berada di negara itu bagi urusan berkenaan.
“CVR itu telah dihantar ke makmal pada Jumaat lalu, namun BSKU mendapati ia rosak teruk sebelum dihantar ke Singapura semalam (Ahad),” katanya dalam satu sidang media pada Isnin.
Lokasi kejadian nahas pesawat terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam. — Bernama
Siew Fook berkata, ‘memory puck’, iaitu komponen yang menyimpan data rakaman suara kokpit 30 minit terakhir itu masih berada dalam keadaan elok, namun negara tidak memiliki kepakaran mengeluarkan data terbabit.
Katanya, proses berkenaan dijangka mengambil sedikit masa dan beliau berharap semua pihak dapat memberi sedikit masa kepada pakar untuk mendapatkan rakaman suara kokpit tersebut.
Dalam pada itu, kerja-kerja membawa keluar serpihan bangkai pesawat terbabit di lokasi turut sedang dijalankan pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, seramai 10 pakar penerbangan dari Amerika Syarikat turut berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan punca nahas pesawat itu.
Katanya, kesemua mereka dijangka berada di negara ini selama tujuh hingga 10 hari bagi menyiasat punca nahas itu.
"Kesemua mereka tiba di negara ini dan pagi ini (Isnin) sudah memulakan siasatan.
"Kita menjangkakan operasi membawa keluar bangkai pesawat akan selesai hari ini (Isnin) dan sekiranya tidak sempat, kita akan terus menempatkan anggota untuk memantau keadaan di lokasi kejadian kerana tidak mahu ada aktiviti yang di luar jangkaan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram