Han Solo jadi idola, dorong Heikal Aras jadi juruterbang


Anak sulung kepada Allahyarham Juruterbang Heikal Aras Daniel, Zulqarnain menyiram air mawar di atas pusara ayahnya di Tanah Perkubuhan Islam Presint 20, Putrajaya pada Ahad.

MENJADIKAN watak Han Solo yang merupakan juruterbang Millennium Falcon dalam filem bersiri Star Wars sebagai idola, menjadi pendorong kepada Heikal Aras Abdul Azim, 45, untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang juruterbang.

"Dia menggelarkan diri Han Solo, setiap kali tengok cerita Star Wars sehinggakan ketika itu sanggup bergaduh dalam kalangan kami adik beradik berebut watak itu, semata-mata kerana terlalu meminatinya,” imbau abangnya Husnein Aras mengenai Heikal Aras, yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada Khamis lepas.

"Minatnya itu juga mendorong dia untuk menjadi seorang juruterbang,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham Heikal Aras yang merupakan juruterbang pesawat malang itu di Tanah Perkubuhan Islam Presint 20, Putrajaya pada Ahad.

Heikal Aras disahkan maut bersama seorang lagi juruterbang dan enam penumpang dalam kejadian pesawat terhempas tersebut.

Husnein Aras berkata, anak sulung arwah, Daniel Zulqarnain, 13, juga telah menunjukkan kecenderungan minat untuk menjadi seorang juruterbang, seperti ayahnya.

"Kami sekeluarga dapat lihat apabila dia sering mereka bentuk replika kapal terbang daripada kadbod,” katanya yang merupakan seorang pegawai logistik Markas Angkatan Tentera, Sungai Besi.

Selain Daniel Zulqarnien, mangsa juga mempunyai dua lagi anak iaitu Suri Balqish, 10, dan Rafael Dzulqairy, 9, hasil perkongsian dengan bekas isterinya, Christine Yong.

Ujar Husnein Aras, Allahyarham merupakan seorang yang sentiasa ceria dan baik hati. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram