KERANA mulut badan binasa, seorang pengurus syarikat maut ditikam gara-gara menegur saiz payudara seorang wanita berusia 26 tahun.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki berusia 35 tahun dari Bukit Rambai, Melaka itu meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 pagi pada Selasa di Hospital Melaka ketika menerima rawatan akibat kesan tikaman di dadanya.
Beliau memaklumkan, mangsa difahamkan memasuki sebuah gerai di Taman Kenanga, Tengkera kira-kira pukul 2 pagi bersama rakan-rakannya dalam keadaan mabuk.
Jelasnya, setelah selesai makan, mangsa dikatakan mula berbual dengan rakan-rakannya mengenai saiz payudara salah seorang pelanggan wanita di gerai itu.
"Perbualan itu kemudian didengari oleh pengawal peribadi kepada wanita berkenaan, lalu menegur mangsa dan menyatakan bahawa wanita itu ialah majikannya.
"Situasi menjadi tegang apabila berlaku perbalahan, tolak menolak dan tumbuk-menumbuk melibatkan mangsa, pengawal peribadi dan kekasih wanita itu yang berusia 36 tahun.
"Si mati didakwa ditikam beberapa kali menggunakan objek tajam,” katanya.
Christopher berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian sekitar pukul 4.15 pagi dan pemeriksaan selepas itu mendapati mangsa dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri.
“Lelaki itu dibawa ke Hospital Melaka oleh dua rakannnya dengan menaiki sebuah pacuan empat roda sebelum disahkan meninggal dunia.
"Hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati punca kematian adalah luka tikaman di jantung," ujarnya.
Susulan itu, tujuh suspek berusia antara 25 sehingga 38 tahun ditahan bagi menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram