Akibat cemburu, tergamak tikam isteri bertubi-tubi di pasar sampai mati di Sabah


  • 112
  • Ahad, 09 Apr 2023

Suspek menikam isterinya beberapa kali dalam satu kejadian di sebuah gerai sayur di Jalan Pahlawan, Kepayan, Kota Kinabalu pada Sabtu. — PDRM

SEORANG lelaki tergamak menikam isterinya beberapa kali dalam satu kejadian di sebuah gerai sayur di Jalan Pahlawan, Kepayan, Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, dalam kejadian pada pukul 1. 30 petang itu, mangsa yang berumur 38 tahun sedang membantu kakaknya berniaga sayur di kawasan berkenaan sebelum didatangi suspek.

"Suspek kemudian bertindak menikam belakang mangsa beberapa kali sebelum melarikan diri.

"Mangsa yang parah kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) menggunakan ambulans namun disahkan meninggal dunia pada pukul 2.21 petang (Sabtu)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kalsom berkata, berdasarkan maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya memberkas suspek di Jalan Kepayan pada pukul 8.30 malam hari yang sama.

"Polis berjaya menyelesaikan kes ini tidak sampai 24 jam dan motif kejadian dipercayai akibat cemburu.

"Polis turut merampas sebilah pisau di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan ketika kejadian oleh suspek," katanya.

Kalsom berkata, suspek warga asing direman untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram