MISTERI penemuan mayat rentung berhampiran stesen kereta api akhirnya terjawab selepas polis mengesahkan mangsa merupakan penghantar p-hailing yang mati dibunuh.
Polis memberitahu, mangsa yang dikenali sebagai Hemanth Naik ditugaskan untuk menghantar sebuah Iphone terpakai kepada suspek di kediamannya di Lakshmipura, India.
Menurut jurucakap polis, pada 7 Februari mangsa yang membuat penghantaran telah meminta suspek membuat pembayaran sebaik sahaja menerima barang yang dipesan.
"Hemanth yang menghantar telefon tersebut menuntut bayaran Rs46,000 (RM2,464). Suspek kemudian memberi alasan mahu masuk ke dalam rumah untuk mengambil wang.
"Bagaimanapun dia keluar semula dengan membawa sebilah pisau dan menikam mangsa beberapa kali. Mayat mangsa dibungkus dan disembunyikan berhampiran Stesen Kereta Api Anchkoppal selama empat hari sebelum dibakar," terangnya.
Bagaimanapun polis tidak menjelaskan barangan yang digunakan suspek bagi membalut mayat mangsa.
Tambah jurucakap polis, suspek berusia 20 tahun itu yang sudah ditahan polis mengatakan dirinya tidak mempunyai wang, namun ingin memiliki telefon terbabit.
"Agak menyedihkan apabila suspek memberitahu dia tiada duit, tetapi ingin membeli Iphone," ujarnya.
Polis kemudian mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek membawa mayat mangsa dengan menggunakan sebuah skuter. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram