[VIDEO] Bengang putus cinta, lelaki berbasikal 27km sebelum tikam leher, dada wanita 21 tahun lebih tua


  • Benua
  • Jumaat, 06 Jan 2023

Jessop dirakam menerusi CCTV sebelum bertindak membunuh mangsa. — Agensi

SEORANG lelaki di Britain dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana menikam ibu kepada tiga anak sehingga mati dalam serangan kejam di kediaman mangsa, kurang seminggu selepas hubungan cinta mereka berakhir, lapor Daily Mail pada Rabu.

John Jessop, 26, menunggang basikal sejauh 27 kilometer menuju ke rumah mangsa, Clair Ablewhite, 47, sebelum membunuh wanita berkenaan pada Februari tahun lalu.

Tertuduh mengaku bersalah dalam perbicaraan sebelum ini dan dijatuhi hukuman di Mahkamah Diraja Nottingham, England.

Dia akan menjalani hukuman penjara minimum 17 tahun lapan bulan sebelum dibenar memohon parol.

Menurut Polis Nottinghamshire, tertuduh menyerang mangsa di kediaman wanita itu di kampung Colston Bassett pada 25 Februari tahun lalu selepas hubungan cinta mereka berakhir disebabkan perbezaan usia.

Mereka dilaporkan bertemu menerusi laman perkenalan online, enam bulan sebelum itu.

Jessop dikatakan menumbuk Clair beberapa kali dan menikam wanita berkenaan pada leher serta dada sebelum menunggang basikal pulang ke rumahnya

Mayat Clair ditemui oleh bapanya yang ke rumahnya selepas rakan-rakan mangsa menyatakan kebimbangan mengenai keadaan wanita itu.

Menurut Inspektor Mel Crutchley, Jessop tidak menunjukkan reaksi menyesal dan secara konsisten memberikan kenyataan ‘tiada komen’ ketika disoal siasat serta tidak memohon maaf.

“Hukuman pada hari ini tidak mampu mengembalikan Clair, namun ia bermaksud Jessop akan menghabiskan sebahagian besar hidupnya di dalam penjara. Saya berharap ia dapat memberi kelegaan kepada keluarga mangsa,” kata Crutchley.

Menurut beberapa pegawai, mangsa menggunakan laman web temu janji dan berinteraksi dengan Jessop menerusi laman media sosial dan aplikasi WhatsApp.

“Jessop disahkan mengenali Clair menerusi media sosial dan menjalinkan hubungan cinta dengannya dari September 2021 hingga 19 Februari tahun lalu.

“Hubungan mereka diputuskan disebabkan kebimbangan mengenai perbezaan usia antara mereka,” kata Crutchley. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram