[VIDEO] Tak masuk kerja sebelum ditemukan mati dalam parit tepi bendang di Jitra, polis jumpa ‘test pen’ dan rantai besi


  • 112
  • Khamis, 16 Feb 2023

Mayat dipercayai lelaki etnik Rohingya ditemui di kawasan tali air di Kampung Pida 1 Tok Tambak, Tunjang dekat Jitra, Kedah pada Rabu.

PENDUDUK di Kampung Pida 1 Tok Tambak di Tunjang, Jitra, Kedah dikejutkan dengan penemuan mayat hampir reput di dalam tali air pada Rabu.

Video tular di aplikasi Telegram Info Kemalangan Jalan raya Dan Jenayah memaparkan mayat tersebut terapung di dalam sebuah tali air.

Turut kelihatan beberapa orang kampung menaiki motosikal untuk melihat mayat berkenaan.

"Kampung Pida 1, Pida 1. Kena tikam, kena bunuh," kata salah seorang daripada mereka yang merakam video di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu kira-kira pukul 8.35 pagi Rabu.

"Mayat dipercayai etnik Rohingya berdasarkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang ditemui di kawasan berhampiran.

"Semakan dilakukan mendapati terdapat laporan polis dibuat mengenai kegagalan mangsa hadir ke tempat kerja oleh penyelianya semalam (Selasa).

"Berdasarkan pemerhatian, mangsa dipercayai meninggal dunia lebih 24 jam berikutan keadaan mayat yang kembung serta dihurung lalat dan anak ikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Rodzi lagi, pihaknya turut menemui sebatang ‘test pen’ dan rantai besi sepanjang 29 inci di kawasan berdekatan.

"Pemeriksaan pada badan mangsa bersama pegawai forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menemui kesan luka pada belakang serta kepala sepanjang kira-kira dua sentimeter.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk proses bedah siasat," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram