Bekas samseng kongsi kisah penghijrahan, berani mati demi pertahankan akidah


  • Mukmin
  • Isnin, 13 Mac 2023

Hidayah itu milik ALLAH dan DIA berhak untuk memberikan kepada sesiapa pun hambanya meskipun seseorang yang mempunyai sisi gelap dalam hidup mereka.  —  Gambar hiasan

ALLAH SWT menciptakan manusia di muka bumi untuk beribadah kepadaNYA dan menjadi khalifah dalam membimbing manusia ke arah kebaikan.

Biarpun bergelar pemimpin, namun manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Terkadang ada langkah yang mungkin tersasar dari landasan agar dapat dijadikan pedoman.

Begitu juga dengan perjalanan kehidupan yang ditempuhi oleh seorang bekas samseng di Amerika Syarikat yang telah berhijrah memeluk agama Islam.

Mahu dikenali sebagai Shaykh Uthman Farooq, dia berkongsi cerita tentang penghijrahannya bagi meninggalkan sisi gelap kehidupan lampaunya.

“Sejak umur 10 tahun, saya sudah terlibat dengan dunia samseng di Amerika dan Mexico. Tujuan menyertai mereka dahulu kerana saya ingin perlindungan.

majoriti2023 (13)

Shaykh Uthman Farooq merupakan seorang bekas samseng yang kini bergelar imam di Amerika Syarikat.

“Bila kita bergaduh, pasti kita perlu bergaduh beramai-ramai dan tidak boleh keseorangan. Setiap orang ada sebab tersendiri mengapa mereka terlibat dengan kegiatan sebegini.

“Orang muda fikir terlibat dengan perkara sebegini dapat jadi popular, hidup senang dan mampu memiliki segalanya. Saya tidak nafikan segalanya itu ada, tetapi harus diingat kerana semua itu ada tukar gantinya,” terangnya dalam video Surah Al-Insan: Reset Life, From Gangster To Islam di Facebook Hidayah Centre Foundation.

Hidayah milik ALLAH

Kata Shaykh Uthman, dia mula mendalami agama Islam selepas melihat salah seorang rakan baiknya meninggal dunia.

Kejadian meragut nyawa itu dikatakan berlaku apabila teman baiknya dijadikan sebagai galang ganti disebabkan hasad dengki.

“Ada pihak yang ingin menghabiskan nyawa saya, tetapi rakan baik saya yang gantikan tempat saya dan dia yang meninggal dunia. Melihat kepada itu saya jadi sedar bahawa mati itu boleh berlaku dalam sekelip mata.

“Orang melihat kehidupan dalam ‘kumpulan gelap’ ini seronok. Apa yang seronoknya kalau kena tikam, tembak dan jika masuk penjara pun mereka tidak kisah,” jelasnya.

Mengimbau semula kejadian yang berlaku ketika berusia 18 tahun, dia melihat bagaiman pengakhiran hidup temannya itu.

Agak menyedihkan, dalam nada pilu, Shaykh Uthman mengatakan pengebumian teman baiknya seperti tidak dipedulikan oleh sesiapa.

majoriti2023 (10)

Shaykh Uthman mula terlibat dengan dunia gangsterism sejak berusia 10 tahun.

“Tiada sesiapa yang ada bersama dengannya ketika itu, tiada wang, tiada wanita. Ketika itu dia memiliki 13 kekasih, tetapi tiada seorang pun antara mereka yang ada.

“Seberapa banyak duit yang ada, tetapi tiada apa pun yang boleh dibawa bersama ketika itu. Adik beradiknya pula bergaduh kerana berebutkan harta. Saya melihat kepada itu tidak memberi kesan apa-apa," katanya.

Selang masa silih berganti, Shaykh Uthman mula mendalami tentang Islam dan melafazkan khalimah syahadah dan meluahkan hasrat untuk meninggalkan kumpulannya.

Namun, segalanya tidak berlaku dengan mudah. Shaykh Uthman mengatakan sekiranya ingin ‘melepaskan diri’ dia perlu melakukannya dengan darah.

“Ada yang kata gangster ini perlindungan, tetapi mereka tidak sedar bahawa perkara ini akan menyebabkan mereka mati dibunuh. Saya ingin keluar, tetapi kumpulan ada undang-undang iaitu blood in, blood out.

“Maksudnya jika ingin keluar, saya perlu mencabut nyawa seseorang berdasarkan tugasan atau mati untuk keluar. Saya ada rakan yang berkerusi roda, lumpuh, tetapi mereka tetap tidak boleh keluar daripada kumpulan.

“Jadi apabila ingin keluar, saya beritahu mereka saya sudah memeluk agama Islam. Awalnya mereka terima dan mengatakan saya boleh beribadah dan ke masjid manakala mereka ke gereja dan terus berada dalam kumpulan seperti biasa.

“Bagaimanapun saya katakan, saya tidak boleh berbuat begitu kerana Islam melarang perbuatan bertentangan dengan ajaran agama terutama perbuatan maksiat,” ujarnya.

majoriti2023 (12)

Shaykh Uthman menasihatkan agar generasi muda tidak terlibat dengan perkara yang merosakkan masa depan seperti menyertai kumpulan gangster.

Kemudian, Shaykh Uthman mendapat ancaman bunuh dan dia menerima jika itu sudah ditakdirkan dalam hidupnya.

Maka, setiap malam sepucuk pistol sentiasa berada di sisi kerana dia bimbang rakan-rakannya itu akan muncul pada bila-bila masa.

Menyedari perkara itu satu tindakan sia-sia, Shaykh Uthman memilih untuk pergi kepada mereka dengan tangan kosong tanpa membawa senjata.

“Saya pergi sendiri kepada mereka dalam keadaan berjubah, jambang dan berkopiah. Saya katakan kepada mereka, saya takut mati dalam keadaan jahil dan saya tidak takut mati dalam keadaan Islam.

“Dengan tangan kosong saya pergi kepada mereka dan akhirnya mereka melepaskan saya pergi. Tetapi, saya kata tidak kalau kalian tidak ke masjid. Syukur ada mereka datang ke masjid dan memeluk Islam.

“Saya nasihatkan pilihlah cara hidup yang betul untuk masa depan kerana dalam gangster ini cuma ada dua pilihan iaitu hidup dan mati. Jadi buatlah keputusan bijak sama ada ingin hidup senang lenang di dunia atau hidup bahagia di syurga ALLAH,” terangnya.

Syukur nikmat

majoriti2023 (11)

Sentiasa ingat untuk mensyukuri nikmat TUHAN yang diberikan kepada kita antara nasihat Shaykh Uthman.

Bercerita tentang itu, Shaykh Uthman tidak henti menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH yang memberinya peluang untuk hidup bahagia di sisi keluarga.

Bapa empat anak itu kini bergelar imam dan khatib di Masjid Ar-Ribat, San Diego, California, Amerika Syarikat.

“Setiap hari saya bersyukur kepada ALLAH, bahawa saya tidak duduk di penjara, mahupun hospital atau meninggal dunia. Berapa ramai masyarakat di luar sana yang sengsara tiada makanan, tetapi ALLAH berikan saya menjalani kehidupan dengan baik.

“Bayangkan bagaimana kalau ALLAH menarik nikmat matahari, nikmat hujan. Dalam penjara apa yang diinginkan ialah cahaya matahari, makan hidangan yang diinginkan.

“Bayangkan kehidupan selesa yang kita rasai ini, segalanya nikmat ALLAH. Bersyukur dengan kehidupan yang kita ada,” nasihatnya sebelum menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram