SEORANG lelaki bertindak di luar kawalan apabila menikam seorang pramugari, gara-gara kemahuannya untuk membuka pintu kapal terbang yang dinaiki tidak dituruti.
Fransisco Severo Torres, 33, difahamkan menikam anak kapal terbabit menggunakan sebatang sudu patah, ketika penerbangan pesawat United Airlines dari Los Angeles ke Boston, Amerika Syarikat pada Ahad.
Aksi liar lelaki kurang siuman itu berjaya dikawal oleh kira-kira enam penumpang lain yang cuba menyarungkannya dengan kain berzip.
Seorang penumpang, Simik Ghookasian yang juga antara individu mengawal keganasan itu berkata, pada mulanya dia menyangka lelaki tersebut menjerit disebabkan melakukan pertengkaran.
"Lelaki itu benar-benar kuat. Kami perlu masa yang lama untuk menahannya," katanya.
Sebelum melakukan serangan itu, Torres dipercayai cuba membuka pintu kecemasan, selepas seorang pramugari melihat pemegang pintu sisi dialihkan ketika perjalanan hampir tiba ke destinasi dalam hanya tempoh sejam.
Dia dilapor sudah pun ditahan pihak berkuasa.
Lelaki itu didakwa memberitahu pihak berkuasa bahawa, dia mahu melompat keluar dari pesawat dan mengetahui tindakannya itu akan memberi ancaman kehilangan nyawa kepada penumpang lain.
Ketika dalam tahanan, dia dilapor cuba melakukan serangan ke atas dua pengawal penjara.
Torres boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup sekiranya didapati bersalah.
Sebelum ini, dia dilapor mempunyai masalah kesihatan mental sejak tahun lalu.
Bukan itu sahaja, dia juga pernah menyaman sebuah pusat kesihatan mental pada tahun 2021 dan 2022 kerana menahannya sebagai pesakit. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram