TIBANYA bulan Ramadan, umat Islam berlumba-lumba melakukan ibadah dan amal kebajikan bagi merebut keberkatan serta ganjaran yang besar.
Malah, ada dalam kalangan umat Islam tidak putus-putus bersedekah kepada golongan memerlukan untuk mendapatkan pahala pada bulan yang mulia ini.
Namun begitu, ada segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan meraih simpati orang ramai untuk kaut untung secara mudah.
Sehubungan itu, setiap kali menjelang Ramadan kelibat pengemis asing akan kelihatan di kawasan tumpuan ramai seperti di pasar, di sekitar bank, bazar Ramadan dan masjid.
Melalui video tular yang dimuat naik FTopNews memaparkan seorang pengemis warga emas dipercayai warga asing meminta sedekah di salah sebuah kawasan bazar Ramadan baru-baru ini.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku pada Jumaat di salah sebuah Bazar Ramadan di Kuala Lumpur dan dirakam oleh seorang individu lelaki yang menegur kehadiran pengemis warga asing tersebut.
Menurut individu berkenaan, warga asing yang berasal dari Myanmar itu dikawal oleh sindiket tertentu.
"Dia 'buat' duit senang sahaja. You (Awak) orang apa? Bukan orang Malaysia kan?
"Jangan buat hal dalam negara saya. Jangan buat 'kacau' sini. Dia ini penipu, saya harap orang Malaysia tolong sedar.
"Dia ini penipu, dia bukan orang Malaysia. Warga asing, dia Myanmar dikawal oleh sindiket," katanya.
Dalam video berdurasi dua minit sembilan saat itu juga, kedengaran warga emas terbabit memberitahu lelaki berkenaan yang dia mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah sebelum cuba beredar daripada kawasan berkenaan.
Tambah perakam lagi, pengemis itu menggunakan modus operandi yang licik dengan menyimpan hasil sumbangan orang ramai di dalam begnya dan terus menagih simpati.
Dia turut memberi amaran keras kepada warga emas warga asing itu untuk tidak datang semula ke lokasi berkenaan.
Pengemis wanita warga asing ditahan ketika sedang mengemis di tapak Bazar Ramadan Keramat Permai, Ampang Jaya, Kuala Lumpur pada Jumaat. — PDRM
Sebelum ini, media melaporkan pihak polis Ampang menahan seorang wanita warga asing di tapak Bazar Ramadan Keramat Permai, Ampang Jaya, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam dan menahan wanita itu yang sedang meminta sedekah.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati dia menetap di negara ini tanpa dokumen perjalanan diri sah.
“Pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap beg yang disandang suspek mendapati beberapa wang kertas sejumlah RM240.
“Suspek kini ditahan untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 27(C) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram