[VIDEO] Musibah di ambang Ramadan, panahan petir musnahkan Masjid Ibnu Sina di Titiwangsa


  • Massa
  • Khamis, 23 Mac 2023

Maklumat daripada forensik Bomba melaporkan kejadian berpunca panahan petir yang kuat di atas bumbung masjid. — Facebook/MasjidIbnuSina

KEBAKARAN yang berlaku di Masjid Ibnu Sina di Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Rabu berpunca panahan petir yang kuat di atas bumbung masjid.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, hampir 90 peratus ruangan masjid itu musnah dalam kebakaran.

Pihak pengurusan dalam satu kenyataan melalui halaman Facebook rasminya memaklumkan maklumat awal daripada forensik bomba menyatakan kejadian berpunca panahan petir yang kuat di atas bumbung masjid.

"Dukacitanya dimaklumkan bahawa Masjid Ibnu Sina ditimpa musibah di awal permulaan Ramadan.

"Pihak masjid berharap, semua ahli jemaah dan kariah untuk bertenang dan bersabar di atas kejadian ini.

"Maklumat daripada forensik Bomba melaporkan kejadian berpunca panahan petir yang kuat di atas bumbung masjid dan ia merebak begitu cepat," tulisnya pada Khamis.

Menurut kenyataan itu juga, pihak bomba memberi kebenaran untuk solat di kawasan terbuka masjid iaitu di kawasan beranda masjid.

Sebelum ini, media melaporkan, kariah masjid berkenaan tidak sempat menunaikan solat tarawih pada malam Ramadan (Rabu) susulan kejadian berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memberitahu panggilan kecemasan pada pukul 7.10 petang, sebelum tiba di tempat kejadian pada pukul 7.17 malam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram