[VIDEO] Dua dikhuatiri maut kena 'sodok' pemandu lumba haram di Jalan Raja Laut


  • Tular
  • Isnin, 20 Mac 2023

Tangkap layar kejadian kemalangan yang didakwa menyebabkan kematian dua lelaki di Menara Raja Laut, Kuala Lumpur.

DUA lelaki dikhuatiri maut selepas dilanggar oleh seorang individu tidak bertanggungjawab yang terlibat dalam satu perlumbaan haram di ibu kota Kuala Lumpur pada Ahad.

Difahamkan, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang melepak di tepi jalan berdepan dengan Menara Raja Laut, Kuala Lumpur.

Menurut saksi yang merakam kejadian, kenderaan jenis Perodua Myvi Merah itu terlibat dengan perlumbaan haram sebelum kereta tersebut hilang kawalan dan melanggar sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Alza yang diparkir di tepi jalan sekali gus merempuh orang awam yang berada di tempat kejadian.

Video kemalangan tersebut dimuat naik semula di aplikasi Telegram Update Info pada Isnin oleh orang awam yang hanya dikenali sebagai Wan.

"Kereta race (berlumba) langgar orang lepak tepi jalan. Dua meninggal dan dua lagi masuk hospital.

"Race di Jalan Raja Laut menuju ke Chow Kit, Kuala Lumpur," katanya.

Bagaimanapun tidak dapat disahkan sama ada berlaku kemalangan jiwa dalam kejadian tersebut memandangkan tiada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa.

Dalam video berdurasi seminit empat saat itu turut kedengaran suara perakam menerangkan situasi kejadian.

"Ha sekarang eh sekarang, Myvi merah langgar kereta biru (Alza) ada budak (mangsa) sedang parking.

"Dia pergi langgar macam ini. Baru jadi tadi, aku tengah lepak dekat sini mat. Ini, kereta merah ini disodoknya (dilanggar) kereta parking," katanya.

Orang ramai turut kelihatan mengerumuni tempat kejadian.

Pihak Majoriti sudah menghubungi pihak polis dan belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram