SKUTER elektrik ataupun lebih dikenali dengan nama e-skuter semakin popular digunakan di Malaysia sebagai hobi ataupun pengangkutan jarak pendek yang mesra alam.
Bukan itu sahaja, ramai yang sudah memilih menggunakan kenderaan mikromobiliti ini untuk ke tempat kerja bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di luar negara.
Namun begitu, skuter elektrik ini tidak sesuai digunakan di jalan raya atas faktor keselamatan kerana keadaan jalan yang sesak dengan kenderaan.
Malah, Kementerian Pengangkutan jalan turut memuktamadkan larangan mikromobiliti di atas jalan atas faktor membahayakan pemilik e-skuter dan juga pengguna jalan raya yang lain.
Walaupun begitu, masih ada individu yang degil menggunakan skuter elektrik tersebut di atas jalan yang sesak.
Terbaharu, tular satu video memaparkan kejadian seorang individu yang lengkap memakai topi keledar menggunakan e-skuter di sebuah kawasan dekat Batu Pahat, Johor pada Isnin.
Video berdurasi kurang seminit tersebut dimuat naik di halaman Facebook We Are Malaysian pada hari yang sama.
Kejadian itu dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) pengguna jalan raya yang berada di lokasi kejadian.
Difahamkan kejadian itu berlaku pada pukul 10.17 pagi Isnin berdasarkan tarikh catatan video yang tertera di dashcam tersebut.
Dalam video tersebut memaparkan lelaki berkenaan menunggang kenderaan tersebut secara merbahaya di tengah jalan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mengecam tindakan lelaki tersebut yang dianggap membahayakan dirinya dan juga orang lain.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung video tular berkenaan.
"Polis sedang menyiasat kejadian tersebut dan pemantauan secara berterusan di lokasi akan dijalankan dari semasa ke semasa.
"Kejadian tersebut berlaku pada 20 Mac pada pukul 10.17 pagi berhampiran Bangunan Arked Mara, Batu Pahat, Johor.
"Pengguna kenderaan mikrobiliti (skuter elektrik) di atas jalan adalah merbahaya bukan sahaja kepada pengguna kenderaan tersebut, malah kepada pengguna jalan raya yang lain.
"Antara jenis kenderaan mikrobiliti yang dilarang ialah jenis Moped, Personal Mobiliti Device dan Personal Mobiliti Aids (PMA)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ismail menyarankan orang awam untuk segera menghubungi pihak polis jika melihat kejadian yang sama berlaku supaya tindakan segera dapat diambil.
Mana-mana individu yang didapati menggunakan kenderaan mikromobiliti tertentu yang telah dilarang di atas jalan raya boleh diambil tindakan di bawah pewartaan P.U.(A) 453/21 03(1) (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 yang telah berkuatkuasa mulai 17 Disember 2021.
Ismail turut menegaskan kepada orang ramai bahawa penggunaan kenderaan mikromobiliti tertentu adalah dilarang di atas jalan raya dan boleh diambil tindakan saman dalam kategori No Compoun (N/C) di mana saman tersebut tidak ditawarkan pembayaran dan pesalah perlu naik ke mahkamah.
"Manakala kenderaan mikromobiliti akan disita dibawah seksyen 112(3) API 1987," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram