DUA kakitangan sebuah syarikat jualan kenderaan berdepan dengan detik cemas apabila dijadikan tebusan oleh bekas rakan sekerjanya sendiri pada Sabtu lalu.
Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10 pagi di salah sebuah premis jualan kereta di Kawasan Perusahaan Beranang, Semenyih, Kajang, Selangor.
Dalam video tular berdurasi seminit 12 saat itu memaparkan suspek yang bersenjatakan keris bertindak mengugut dan menjadikan jurujual wanita syarikat itu sebagai tebusan sebelum mengarahkan seorang lagi kakitangan mengikutnya ke lokasi lain.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan itu pada pukul 10.15 pagi.
Katanya, suspek bertindak sedemikian kerana berang dengan tindakan bekas majikannya yang tidak membayar komisen jualan kereta seperti yang dijanjikan.
"Pihak polis menerima laporan itu pada pukul 10.15 pagi pada 18 Mac.
“Suspek mengggunakan keris dan mengacukan senjata tersebut ke arah pekerja wanita tersebut sebelum menjadikan seorang lagi kakitangan syarikat berkenaan iaitu jurujual lelaki sebagai tebusan.
"Suspek turut mengarahkan dua pekerja mengikutnya sebagai tebusan ke lokasi yang tidak pasti," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Senjata yang digunakan suspek untuk menyerang bekas rakan sekerja dan majikan lamanya. — Polis Kajang
Tambah Mohd Zaid lagi, majikan mangsa turut cuba merampas senjata yang dipegang suspek lalu berlaku pergelutan dengan suspek itu sehingga dia luka di tangan akibat terkena keris tersebut.
"Supek yang berumur 39 tahun itu berjaya ditangkap dan diserahkan kepada polis.
"Hasil pemeriksaan badan suspek, polis berjaya menjumpai dadah jenis Eramin 5 dan ujian air kencing ke suspek juga didapati positif.
Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula Ahad lalu sehingga 22 Mac ini bagi membantu siasatan lanjut polis dalam kes tersebut.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan jenayah terhadap mangsa dan serta mencederakan mangsa.
Suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Bangi, Selangor pada Selasa dan akan dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki dadah jenis Eramin 5. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram