[VIDEO] Ditegur ambil makanan guna tangan punca pelanggan pukul pekerja restoran nasi kandar di Cyberjaya


  • Tular
  • Jumaat, 17 Mac 2023

Tangkap layar pergaduhan berlaku di sebuah restoran dekat Cyberjaya.

KECOH di sebuah restoran apabila dua lelaki yang didakwa mabuk, bertindak memukul pekerja kedai nasi kandar terkemuka di Cyberjaya pada Khamis.

Menerusi satu video tular di laman Facebook, pekerja restoran berkenaan dilihat sedang mempertahankan dirinya daripada ditumbuk dan ditolak individu terbabit.

Situasi kian meruncing apabila seorang lagi pemuda dipercayai rakan pelaku bertindak mencampak pinggan ke arah mangsa.

Salah seorang pekerja kemudiannya menghentikan pertelingkahan tersebut sebelum masing-masing saling berbalah dan menengking satu sama lain.

Rata-rata warganet mengecam perbuatan ganas tersebut melibatkan kedua-dua lelaki yang dikatakan dalam keadaan mabuk dalam insiden terbabit.

"Ni memang kes mabuk, tunggu masa je video viral dan polis ambil tindakan terhadap dua lelaki itu," ujar Mikhail Korrs.

"Selalu kalau dah mabuk memang macam ni la jadinya, tak terkawal dan semua nak dipukul, kita yang duduk meja lain pun terasa takut bila jadi kes," kata Farah Hidayah.

"Nak gaduh jangan la sampai merosakkan harta kedai, restoran tempat orang makan bukan nak buat tempat tinju, harap sangat polis dapat cekup dua orang itu," tambah Mohd Fazlan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada pelayan restoran menegur salah seorang suspek yang mengambil lauk dengan tangan.

Wan Kamarul berkata, susulan laporan diterima daripada pengurus restoran, polis sudah menahan tiga suspek berusia 50 hingga 51 tahun di dua lokasi berasingan.

"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek datang ke restoran itu dan ketika berada di bahagian nasi kandar, seorang suspek ambil lauk dengan tangan. Teguran itu membuatkan suspek menjadi berang dan bertindak agresif dengan memukul pekerja terbabit.

"Susulan kejadian itu, mangsa mendakwa mengalami lebam pada leher, kepala, bahu kiri dan telinga akibat dipukul suspek," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Wan Kamarul berkata, pengadu yang juga pengurus restoran mendakwa berdepan kerugian apabila peralatan dirosakkan termasuk pinggan selain banyak lauk tercemar dan terpaksa dibuang.

Siasatan mendapati dua daripada suspek yang masing-masing bekerja sebagai pemandu pelancong dan pemandu teksi mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324, 327 dan 506 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram