Musa Hassan alami 'minor concussion' akibat dipukul isteri


  • Primer
  • Jumaat, 10 Mac 2023

Musa tidak mendedahkan secara terperinci tentang video tersebut dan hanya menjelaskan kejadian tersebut berlaku pada 28 Februari yang lalu.

BEKAS Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan akhirnya membuka mulut berhubung video tular melibatkan beliau dan isteri di media sosial baru-baru ini.

Namun beliau tidak mendedahkan secara terperinci tentang video tersebut dan hanya menjelaskan kejadian tersebut berlaku pada 28 Februari yang lalu.

"Saya ingin menyatakan ini adalah hal rumah tangga saya dan saya mempunyai prinsip iaitu tidak akan mengamalkan atau mengaibkan sesiapa.

"Saya lebih selesa melalui proses undang-undang dan juga mahkamah. Isu rumah tangga ini saya serahkan sepenuhnya kepada peguam.

"Saya mempunyai sebab-sebab tertentu untuk meneruskan aduan berkaitan dengan isteri saya ke Mahkamah Syariah," katanya menerusi sidang media secara langsung di TikTok pada Khamis.

Menurut Musa lagi, beliau tidak mengetahui bagaimana video tersebut boleh tersebar di sosial media.

"Saya tidak tahu bagaimana dan bila video tersebut tersebar. Saya tidak boleh membuat sebarang spekulasi atau menuduh sesiapa yang menularkan video berkenaan.

"Cumanya masa kejadian isteri saya ada mengambil video," katanya.

Tambah beliau lagi, masalah rumah tangga yang dihadapinya itu bukanlah baharu sahaja berlaku tetapi ia sudah berlarutan hampir tiga tahun.

"Kami sudah tidak lagi tinggal sebumbung sejak enam bulan lalu," jelasnya.

Beliau turut menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung dengan video tular berkenaan.

"Biar polis yang menjalankan tugas untuk membuat siasatan.

"Repot saya sudah ditularkan dan begitu juga dengan repot isteri saya. Jadi tidak perlu saya terangkan," katanya

Musa menegaskan bahawa beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat spekulasi negatif tentang kejadian itu.

"Saya tidak tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kerana mereka ingin menjatuhkan maruah saya," tegasnya.

Menjawab soalan media mengenai kecederaan yang dialami ketika kejadian tersebut, Musa menjawab dia mengalami kecederaan ringan.

"Pada hari kejadian saya dipukul di kepala dan terus mendapatkan rawatan di hospital sebelum dibenarkan pulang.

"Keesokan harinya, saya berasa pening kepala dan pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan sekali lagi.

"Saya dimaklumkan oleh doktor saya mengalami minor concussion," jelasnya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan video tular mendakwa seorang lelaki yang mirip bekas pegawai kanan tertinggi polis didakwa mengasari seorang wanita dipercayai isterinya.

Melalui video tular yang dimuat naik dalam halaman Twitter Mak Cik Bawang pada Selasa, pasangan terbabit dipercayai bertengkar di kediaman mereka pada minggu lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram