Pejalan kaki Rohingya, penumpang Proton Saga maut nahas di Pekan


  • 112
  • Sabtu, 25 Mac 2023

Antara mangsa terlibat dalam nahas tersebut. — Korporat JBPM

SEORANG pejalan kaki dipercayai etnik Rohingya dan penumpang sebuah kenderaan maut dalam kemalangan di KM55 Jalan Pekan - Nenasi - Rompin, dekat Pekan, Pahang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superitendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, ketika kejadian sekitar pukul 9.30 pagi itu, pemandu kereta jenis Proton Saga Mohamad Aizuddin Karim, 27, dan isterinya Nor Katijah Mamat, 33, dalam perjalanan dari Pekan menuju ke Rompin.

"Ketika melalui kawasan jambatan, pemandu tersebut dipercayai mengantuk dan terbabas ke kiri jalan serta melanggar seorang pejalan kaki sebelum kenderaan itu terbabas masuk ke dalam sungai," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pejalan kaki lelaki yang belum diketahui identitinya itu maut di lokasi kejadian.

337681456_534675735448282_7657032841863743821_n

Anggota bomba tiba di lokasi kejadian. — Korporat JBPM

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata, Nor Khatijah berjaya keluar dari kereta bagaimanapun mangsa lemas, selepas dibawa arus dan mayatnya ditemukan oleh orang awam.

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, katanya.

337685140_666979148526911_8754875251637696304_n

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. — Korporat JBPM

Menurut beliau, pemandu kenderaan yang terbabas ke dalam sungai itu berjaya diselamatkan oleh orang awam, mangsa mengalami luka di bahagian tangan kanan dan dibawa ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan.

Jurucakap itu memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.47 pagi Sabtu, sebelum lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi bergegas ke lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram