[VIDEO] Ribut debu punca 42 kenderaan terlibat nahas ngeri, seorang mati tersepit


  • Benua
  • Selasa, 14 Mac 2023

Seorang maut manakala 39 orang termasuk 10 kanak-kanak dilaporkan cedera dalam kemalangan tersebut. — Agensi

SEBANYAK 42 buah kenderaan dilaporkan terlibat dalam kemalangan ngeri yang berlaku di lebuh raya M1 berhampiran kampung Herceghalom, Hungary pada Sabtu.

Punca insiden itu dipercayai akibat daripada bencana ribut debu yang melanda ketika kejadian sekali gus mengakibatkan seramai 39 orang termasuk 10 kanak-kanak tercedera.

Ia juga mengakibatkan seorang mangsa terkorban apabila ditemui di celah-celah serpihan kemalangan terbabit.

Insiden tersebut berlaku di kilometer 26 menghala ke arah Budapest, Hungary sekitar pukul 2.25 petang Sabtu dan menyebabkan lebuh raya ditutup di kedua-dua arah.

Pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian dengan empat helikopter dan 16 ambulans bergegas membawa kesemua 39 mangsa ke hospital di Gyor, Tatabanya, Szekesfehervar dan Budapest.

Dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan yang boleh mengancam nyawa manakala 12 individu lagi dalam keadaan serius.

Mangsa meninggal dunia yang merupakan seorang lelaki berusia 44 tahun itu gagal ditemui sehingga keesokan paginya sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian untuk memadamkan api.

Pembangunan Infrastruktur Konsesi Hungary yang mengendalikan dan menyelenggara rangkaian di lebuh raya berkenaan percaya bahawa serangan ribut debu merupakan punca utama perlanggaran besar-besaran tersebut.

Insiden berkenaan yang dirakam menerusi kamera dashcam memaparkan bencana ribut yang melanda dan secara tidak langsung mengakibatkan penglihatan pemandu terhalang.

Satu kertas siasatan telah dibuka berhubung kejadian itu dan laluan trafik lebuh raya terbabit ketika ini difahamkan telah dibuka semula di kedua-dua arah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram