SEBANYAK 12 pelancong warga Singapura cedera ringan manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 139.9 Lebuh Raya Utara Selatan Arah Selatan, dekat Pagoh di Muar, Johor pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, dalam kejadian pada pukul 5.15 petang Ahad itu, kesemua 12 pelancong yang menaiki van persiaran terlibat kemalangan dengan sebuah bas ekspres membawa 28 penumpang serta dua kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda CX-30 dan Honda HR-V.
Bagaimanapun, kesemua 28 penumpang bas tersebut terselamat dan hanya pemandu bas dan seorang penumpang Mazda mengalami kecederaan ringan.
"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila bas ekspres dalam perjalanan dari Melaka ke Johor Bahru yang berada di lorong kiri melanggar van persiaran di hadapannya, sebelum van tersebut melanggar Mazda di depannya.
"Mazda berkenaan kemudian merempuh sebuah Honda HR-V di hadapannya, sekali gus menyebabkan empat kenderaan terbabit dalam nahas itu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah Raiz lagi, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pakar Fatimah Muar, Johor untuk menerima rawatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram