SEORANG wanita meninggal dunia selepas motosikal yang dinaiki bersama suami dan anak lelakinya melanggar penghadang sebuah jambatan sebelum mangsa terjatuh ke dalam sungai pada Sabtu lalu.
Kejadian itu berlaku di jambatan Sungai Logawa di Desa Kediri, Kecamatan Karanglewas, Kabupaten Banyumas, Jawa Tengah, Indonesia.
Lebih menyedihkan lagi, mangsa yang dikenali sebagai Sulastri, 36, sedang hamil tujuh bulan pada waktu kejadian.
Salah seorang anggota penyelamat, Trisno berkata, ketika insiden itu berlaku, mangsa serta suami dan anaknya sedang melalui jambatan tersebut.
"Kejadian itu berlaku pada pukul 9 pagi dan motosikal dinaiki mereka hilang kawalan dan terus melanggar penghadang jambatan tersebut sebelum mangsa terhumban ke dalam sungai.
"Suami dan anaknya pula terselamat," katanya.
Sementara itu, media Indonesia, Kompas.com melaporkan mayat mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat pada pukul 10.45 pagi pada hari yang sama tidak jauh daripada lokasi kejadian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram