KEHADIRAN haiwan di tengah-tengah jalan raya bukanlah sesuatu perkara baharu, yang mana ia dikatakan menjadi antara salah satu punca peningkatan kemalangan.
Pada Mac tahun lalu, dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) cedera, selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka melanggar seekor lembu dalam kejadian di Kilometer 249.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Senawang, Seremban, Negeri Sembilan.
Pada November tahun lalu, seorang penunggang motosikal lelaki berusia 48 tahun maut di lokasi kejadian dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 76.2, Lebuhraya Karak (LRK), berdekatan Bentong, Pahang.
Terbaharu, pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) kecoh apabila seekor kuda terlepas berkeliaran, selepas kenderaan yang membawanya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 251.9, LPT 2 berhampiran Cheneh, di Kemamaman, Terengganu pada Ahad.
Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, kuda berwarna putih tersebut berkeliaran di tengah-tengah lebuh raya berkenaan tanpa arah, sebelum berjaya dijinakkan dan ditangkap semula pemiliknya kira-kira satu setengah jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian bermula apabila kenderaan pikap jenis Ford yang membawa kuda terbabit terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori.
Beliau berkata, sewaktu kejadian, kenderaan pikap terbabit dalam perjalanan untuk membawa kuda berkenaan ke Kuala Terengganu, Terengganu dari Johor Bahru, Johor.
"Kemalangan tersebut telah mengejutkan kuda terbabit yang kemudiannya bertindak keluar dan berlari tanpa arah di laluan lebuh raya berkenaan.
"Kedua pemandu kenderaan terlibat yang masing-masing berusia 34 dan 48 tahun tidak mengalami kecederaan serius,” katanya memetik laporan media tempatan.
Hanyan berkata, pemilik kuda itu yang berusia 48 tahun akhirnya berjaya memujuk dan menjinakkan haiwan peliharaannya pada pukul 11 pagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram