Video penceramah hina PDRM dirakam 2016 kembali tular


  • 112
  • Jumaat, 10 Mac 2023

Penceramah tersebut sudah pun diambil tindakan dan didenda RM7,000.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan video tular mengenai seorang penceramah agama, yang membuat kenyataan menghina dan fitnah terhadap PDRM merupakan video lama yang kembali ditularkan.

Video berdurasi 55 saat itu memaparkan seorang penceramah agama ketika menyampaikan ceramahnya mendakwa, anggota polis tidak menunaikan solat Jumaat serta menggelar warga PDRM sebagai 'bodoh' kerana membuat tugasan perangkap had laju di jalan raya.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A. Skandaguru berkata, semakan mendapati video berkenaan dirakam pada 2016 dan individu itu juga sudah diambil tindakan.

Beliau berkata, rekod menunjukkan penceramah terbabit dituduh mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah) di Mahkamah Majistret Barat Daya, Pulau Pinang pada 26 Ogos 2016 dan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM7,000.

"Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memberi sebarang kenyataan dan tidak mengeluarkan ucapan berunsur fitnah yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, PDRM turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan atau berkongsi klip video berkenaan di media sosial dan jika didapati berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PDRM, video tular, penceramah, hina, fitnah