BENAR bagai dikata, rambut sama hitam, hati lain-lain. Perumpamaan itu jelas menggambarkan reaksi masyarakat sekeliling terhadap kejayaan mahupun kebahagiaan seseorang.
Tidak semua terlihat indah di mata kita turut dipandang cantik oleh orang lain kerana mulut kata lain, hati kata lain.
Begitu juga keadaan yang dialami seorang YouTuber yang dikenali sebagai pikastoryteller atau lebih mesra digelar Pika yang berkongsikan kisah tentang ahli keluarganya menjadi sasaran ‘perjanjian syaitan’ oleh orang terdekat.
Katanya, hanya kerana cemburu dan iri hati, individu terbabit sanggup menghantar sihir sehingga menyebabkan keluarganya berpecah belah.
Kata Pika, pelbagai barangan sihir sudah ditanam terlebih dahulu di tapak rumah sebelum proses pembinaan dibuat di kawasan terbabit.
“Perkara ini berlaku ketika saya masih kecil. Waktu itu boleh dikatakan keluarga kami baik-baik sahaja, bahagia dan perniagaan juga berjalan lancar. Namun, lama-kelamaan saya melihat perubahan ayah yang suka marah-marah. Ayah dan ibu kerap bertengkar.
“Rumah dirasakan menjadi panas dan secara perlahan-lahan perniagaan juga terjejas. Setelah berubat, ustaz mengatakan ini angkara sihir pemisah dan agak sukar untuk memulihkan rumah kami kerana ada pihak yang terlebih dahulu ‘memagar’ rumah. Disebabkan itu, sehingga hari ini, beberapa barang sihir lain masih berada di bawah tapak rumah,” kongsi mangsa.
Amalan perbuatan sihir ditegah dalam Islam. — Gambar hiasan
Situasi itu jelas menunjukkan betapa ‘tajam’ perbuatan syirik yang dipanggil sihir dalam sesebuah institusi kekeluargaan, masyarakat dan agama.
Mangsa malah memberitahu pernah terjumpa bungkusan yang dibaluti dengan kain kuning dan di dalamnya terdapat sebatang buluh runcing.
Melanjutkan cerita, mangsa dimaklumkan oleh pengamal perubatan Islam bahawa perbuatan sihir itu dilakukan oleh mereka yang dikenali atau dekat dengan mereka sekeluarga. Bagaimanapun, mereka memilih untuk tidak mengambil pusing tentang identiti pelaku.
Itu antara kisah perbuatan syirik yang masih diamalkan segelilintir masyarakat Islam pada hari ini walaupun hidup di zaman yang serba moden.
Melihat kepada situasi tersebut, memetik kata-kata cendiakawan Islam, Ibn Manzur menerusi kitab menyebut bahawa yang dimaksudkan Lisan al-Arab, perbuatan sihir itu adalah amalan mendekatkan diri kepada syaitan dengan mengharapkan bantuan daripadanya.
Amalan sihir bukan perkara baharu kerana al-Quran menyebutkan dan jelas menceritakan tentang kisah Nabi Musa AS menentang tukang sihir Firaun menerusi petikan Surah al-A’raf: ayat 7: 104-126.
“Kemudian Kami mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan membawa ayat-ayat Kami kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim (ingkar) akan ayat-ayat itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan. Dan berkatalah Nabi Musa: Hai Firaun! Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul dari TUHAN sekalian alam. Sudah semestinya aku tidak mengatakan sesuatu terhadap ALLAH melainkan yang benar.
"Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa keterangan yang nyata dari TUHAN kamu. Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani Israil menyertai aku (ke Palestin). Firaun menjawab: Kalau betul engkau datang dengan membawa sesuatu mukjizat maka bawalah dia (supaya aku melihatnya), jika betul engkau dari orang-orang yang benar. Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata. Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.
Berkatalah Ketua-ketua dari kaum Firaun: Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir. Ia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu. (Firaun bertanya): Oleh itu, apa yang kamu syorkan? Mereka berkata: Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli sihir); Yang kelak akan membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir. Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata: Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya?
Perbuatan sihir sudah dinyatakan haram dalam al-Quran dan tidak boleh dilakukan. — Gambar hiasan
Firaun menjawab: Benar, (kamu akan mendapat upah) dan kamu sesungguhnya (akan menjadi) dari orang-orang yang damping (denganku). Mereka berkata: Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)? Nabi Musa menjawab: Campakkanlah kamu (dahulu)! Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya). Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: Campakkanlah tongkatmu! Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka). Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batalah (sihir) yang mereka telah lakukan.
Oleh itu, kalahlah Firaun dan Ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina. Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud, Sambil berkata: Kami beriman kepada TUHAN sekalian alam."(Iaitu) TUHAN bagi Nabi Musa dan Nabi Harun. Firaun berkata: Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya dari padanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatya). "Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, kemudian aku akan memalang kamu semuanya.
Mereka menjawab: Sesungguhnya kami (tidak gentar) kerana kepada TUHAN kamilah kembalinya kami (dan kepadaNyalah kami mengharapkan keampunan dan rahmatNya). Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat TUHAN kami, ketika sampainya kepada kami". (Mereka berdoa): "Wahai TUHAN kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)".
Islam sekeras-kerasnya menolak sihir dan mengajar umatnya tentang meminta perlindungan dengan ALLAH SWT.
Firman ALLAH SWT: “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulkan simpulan (dan ikatan-ikatan).” (Surah al-Falaq: 113: 4)
Syaitan sentiasa berusaha untuk menghancurkan umat Islam dan melakukan perbuatan mungkar. — Gambar hiasan
Apabila ditentang dalam agama, pasti khalayak ingin mengetahui jenis hukuman yang setimpal harus dikenakan kepada mereka yang mengamalkan ilmu hitam atau sihir.
Mengenai itu, ulama berbeza pandangan berkenaan hukuman kepada tukang sihir memandangkan perbuatan itu antara tujuh dosa besar.
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda bermaksud “Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.” (HR Bukhari No: 2560)
Tetapi, Imam Malik yang turut terkenal sebagai pengasas mazhab Maliki berpendapat hukumannya adalah bunuh, tidak ada proses istitabah dan tidak diterima taubatnya. Ini kerana ALLAH SWT berfirman mengatakan orang yang melakukan sihir adalah kufur.
“Sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya).” (Surah al-Baqarah: 102)
Padangan ini dipersetujui para ilmuan Islam lain antaranya al-Imam Ahmad, al-Imam Ibn Thaur, al-Imam Ishak, al-Imam al-Syafi’e dalam satu riwayat dan al-Imam Abu Hanifah Rhm (Tafsir al-Qurtubi, 2/48).
Manakala pandangan kedua ialah pandangan yang masyhur daripada al-Imam Syafie bahawa jika penyihir itu tidak membunuh dengan sihirnya maka tidak dibunuh. (Fath al-Bari (10/236)
Oleh itu kesimpulannya, perubahan peradaban manusia tidak pernah mengubah pemikiran jahil yang sanggup memilih membelakangkan ALLAH semata-mata ‘berkiblatkan’ nafsu.
Jadi ringkasnya, berhati-hati dalam berkawan mahupun membuat sebarang perkongsian di media sosial atau berkongsikan sebarang perkara dengan individu lain.
Perlu ditegaskan, Islam sekeras-kerasnya melarang umat Islam mengamalkan amalan sihir apatah lagi melibatkan diri dengan perbuatan serupa dengannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram