[VIDEO] Penduduk Sungai Petani berang, apa motif lelaki berseluar pendek conteng perkataan hina Islam di tembok masjid


  • Tular
  • Rabu, 08 Mac 2023

Tangkap layar seorang lelaki menconteng perkataan kurang sopan di dinding pagar Masjid Andalusia Bandar Laguna Merbok,Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

SEORANG lelaki menerima kecaman orang awam selepas tindakannya menconteng tembok salah sebuah masjid di Sungai Petani, Kedah tular baru-baru ini.

Melalui satu video yang dimuat naik Penduduk Sungai Petani pada Rabu memaparkan lelaki yang tidak diketahui identitinya menconteng tembok masjid dengan perkataan tidak senonoh menggunakan cat merah.

Kejadian itu dikatakan berlaku di Masjid Andalusia Bandar Laguna Merbok dan dirakam oleh orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Dalam video berdurasi kurang seminit itu memaparkan seorang lelaki berbaju kelabu dan berseluar pendek itu terus beredar daripada tempat berkenaan selepas menyedari tindakannya menconteng tembok masjid itu dirakam.

Individu yang merakam kejadian tersebut turut kedengaran memanggil lelaki berkenaan untuk menyuruhnya berhenti namun tidak diendahkan.

Lebih menyakitkan hati, lelaki berkenaan menulis perkataan yang tidak menjaga sensitiviti umat Islam.

"Nabi b**i, tidak tahu baca," conteng lelaki berkenaan di dinding masjid tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna, Fahmi memaklumkan lelaki tersebut berkemungkinan sengaja mencetuskan isu perkauman di kawasan tersebut.

"Sengaja jadi batu api dalam kalangan penduduk di sini. Entah-entah orang luar, kalau kat sini aku tengok harmoni sahaja," katanya.

Azam Syahmi pula mempersoalkan tindakan si perakam yang tidak mengejar lelaki berkenaan.

"Kau panggil 'oi' sahaja? Rumah ALLAH diconteng kau biarkan si pelaku macam itu. Kalau aku, aku kejar pukul tak banyak cakap dah. Rumah ALLAH itu, ibarat dia menghina ALLAH," katanya.

Asri Kkd mengharapkan ahli jawatankuasa masjid untuk membuat laporan polis dengan segera.

"Sapa ahli jawatankuasa masjid, sila buat laporan polis dengan segera. Mula-mula penjenayah ini conteng dinding, esok lusa tak tahu dia nak buat apa pula," tulisnya.

Majoriti sedang cuba menghubungi pihak masjid untuk memdapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian berkenaan.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram