Kes lelaki hina Nabi 'gatal' dalam siasatan polis


  • Tular
  • Isnin, 21 Nov 2022

Kenyataan menghina Nabi Muhammad yang dimuat naik di Facebook itu mengundang kemarahan ramai.

POLIS Sarawak menyiasat seorang lelaki di Sarawak selepas bertindak memuat naik kenyataan yang menghina agama Islam di akaun Facebook miliknya pada Ahad.

Pemilik akaun Facebook dengan nama pengguna 'Samuel Janting' itu terdahulu memuat naik status berbaur provokasi menghina Nabi Muhammad dengan mengatakan baginda adalah seorang yang 'gatal' apabila mengahwini tujuh wanita.

Malah, lelaki tersebut juga seolah-olah mempersoalkan ajaran agama Islam dan turut melabel Nabi Muhammad mengikut ajaran syaitan.

photo6330030622160040641

Status status berbaur provokasi menghina Nabi Muhammad yang dimuat naik individu berkenaan.

Walaupun status biadap tersebut dimuat naik dalam Bahasa Iban, namun kenyataan individu berkenaan akhirnya tular di laman media sosial dengan rata-rata warga maya marah dengan kenyataan tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, Preska Lunie berasakan tindakan lelaki berkenaan dianggap memalukan orang Sarawak yang hidup dalam suasana harmoni.

"B***h Janting ini. Jangan terikut sangat perangai orang. Saya sebagai seorang beragama Kristian menyeru umat Islam agar mengabaikan lelaki tersebut. Jangan memalukan kami yang Kristian kerana yang jahatnya individu bukan agama," katanya.

Seorang lagi pengguna, Glou Alatas Kamat meminta mereka yang beragama Islam untuk mengabaikan saja status lelaki berkenaan dan turut meminta maaf bagi pihak Samuel.

"Abaikan saja posting ini. Mungkin dia ada masalah. Saya mewakili Samuel Janting (walau tidak saya kenal) memohon maaf buat atas kata-katanya. Saya memang malu dengan sikap dia. Tapi kerana kasih, mari saling mengampuni, saling mengasihi," tulisnya.

Sementara itu, Fikri Kamil turut berkongsi satu tangkap layar perbualan aplikasi WhatsApp yang mendakwa sudah menghubungi lelaki berkenaan.

316303454_612762677268112_2463364185860309395_n

Samuel mengaku dia memuat naik status berkenaan dalam keadaan mabuk. — Facebook

Dalam tangkap layar itu menunjukkan Samuel mengaku memuat naik status berkenaan dalam keadaan mabuk.

Lelaki berkenaan turut memohon maaf kerana menyinggung perasaan umat Islam melalui kata-katanya.

Tinjauan Majoriti, mendapati lelaki tersebut memadam akaun Facebook miliknya.

Rentetan itu, jurucakap Balai Polis Bintulu ketika dihubungi Majoriti mengesahkan sudah menerima laporan terhadap individu berkenaan dan kes masih dalam siasatan polis setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram