MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil menegaskan bahawa beliau mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang bekas atlit badminton negara yang memuat naik video berbaur ucapan perkauman dan pertikaian agama.
Hannah menerusi bebenang di laman di Twitternya turut berkata, walaupun bekas pemain itu sudah meminta maaf namun beliau masih tidak bersetuju dengan kenyataan individu terbabit.
"Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia," katanya.
Ahli Parlimen Segambut itu berpesan bahawa seorang atlet sepatutnya menjadi individu yang memberi inspirasi kepada masyarakat dan sentiasa berhati-hati apabila memuat naik sebarang kandungan.
"Saya ulangi pendirian, sukan mesti bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik.
"Semua atlet negara merupakan sumber inspirasi kepada masyarakat dan dinasihati berhati-hati dengan kandungan media sosial masing-masing," tambahnya.
Selepas menyemak dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan badan induk badminton negara itu, Hannah mengenal pasti bahawa altet berkenaan, Bong Guang Yik merupakan bekas pemain pelapis percubaan BAM pada 2014 dan kini tidak menetap di Malaysia.
Pada Ahad, tular satu video bekas atlet badminton tanah air mengatakan punca pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kurang baik adalah disebabkan badan induk tersebut diuruskan oleh orang Melayu.
Dalam video itu, Guang Yik menyalahkan waktu solat orang Islam punca orang-orang Melayu tidak dapat menguruskan BAM dengan sempurna kerana kerap meninggalkan latihan ataupun pengurusan.
Malah atlet itu juga mencadangkan agar kaum Cina yang menguruskan BAM kerana dia berpendapat kaum tersebut tidak akan membuang masa berbanding masyarakat Melayu.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tarikh sebenar video berkenaan dirakam.
Kes membabitkan atlet tanah air mengeluarkan kenyataan rasis ini bukan kali pertama berlaku kerana baru-baru ini pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn pernah membuat komen berbaur perkauman berkaitan konsert penyanyi dan komposer dari India AR Rahman di ibu negara bulan lepas.
Susulan kes itu, Pada 9 Februari lepas, Jawatankuasa Siasatan MSN dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) membuat keputusan untuk menggantung Hanis Nadiah dan dia tidak dibenarkan mewakili pasukan kebangsaan pada Sukan SEA Kemboja 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram