Generasi lupa daratan, 5 kontroversi rasis pernah gegarkan negara


  • Massa
  • Selasa, 14 Feb 2023

Isu rasis membabitkan perkauman dan agama kerap berlaku kebelakangan ini.

ISU penghinaan dan perkauman dalam kalangan masyarakat di Malaysia masih gagal dibendung dengan perkara itu kian meruncing sejak kebelakangan ini.

Perkara itu sepatutnya tidak berlaku dalam Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya serta agama yang disifatkan unik oleh negara-negara luar.

Berjaya mengekalkan keamanan dan kemerdekaan negara selama 65 tahun, generasi masa kini dilihat semakin 'lupa daratan' atas segala pengorbanan pejuang negara yang bergadai nyawa dalam membebaskan negara daripada penjajah.

Dalam pada kemajuan serta pembangunan negara yang kian pesat ketika ini, budaya hormat menghormati antara perbezaan kaum dan agama semakin dilupakan dengan perkara itu kerap terjejas akibat sikap segelintir masyarakat yang mementingkan diri.

Perkara itu boleh dilihat menerusi beberapa tangkapan terhadap individu yang didakwa bersikap rasis dalam isu penghinaan kaum dan agama di Malaysia.

1. Namawee

Penyanyi dan pengarah muzik, Namawee merupakan antara individu yang kerap terpalit dengan kes penghinaan agama.

Terdahulu, klip lagu 'Oh My God' yang dihasilkan penyanyi kelahiran Muar, Johor berkenaan didakwa menghina Islam menerusi lokasi penggambaran lagu yang itu dirakamkan di Masjid Terapung, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Kes yang disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan itu memaparkan video klip membabitkan empat lelaki berkelakuan tidak senonoh menari dan menyanyi di dalam masjid.

Selain itu, pada Ogos 2007, Namawee terlebih dahulu pernah menimbulkan kekecohan apabila menghasilkan video rap dengan gubahan dari lirik Negaraku yang mengandungi pengisian penghinaan terhadap negara, pihak polis, kaum Melayu dan panggilan azan.

Karya Namewee lain yang turut mengundang kontroversi ialah 'Namewee ** TNB Malaysia', 'Handicap Goal' dan 'Kawanku'.

hanis

2. Hanis Nadiah

Tular di laman media mengenai satu akaun Instagram dipercayai milik Hanis Nadiah yang didakwa meninggalkan komen berbaur perkauman pada ruangan hantaran sebuah laman berita, berkaitan konsert komposer legenda dari India, AR Rahman.

Susulan itu, pemain hoki wanita kebangsaan tersebut digantung dan tidak dibenarkan mewakili negara di Temasya Sukan Sea Kemboja 2023.

Mendakwa tidak mempunyai sebarang sentimen perkauman, Hanis berkata perkara itu dilakukan atas tujuan mahu berjenaka tentang keadaan stadium yang dipenuhi puluhan ribu penonton ketika itu.

Namun, status penggantungan pemain itu akan dinilai semula oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) jika mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh tersebut.

The Dong Jiao Zong building in Kajang August 14, 2019. Picture by Yusof Mat Isa

3. Khat, Dong Zong

Pertubuhan Pendidikan Cina, Dong Zong sebelum ini pernah menggerakkan kempen bantahan terhadap pembelajaran tulisan khat di sekolah vernakular.

Pengerusinya, Tan Tai Kim dilaporkan telah mengumpul tandatangan ahlinya sebagai sokongan bantahan terhadap tulisan itu yang dikatakan sebagai salah satu daripada bentuk Islamisasi.

Bertindak balas atas perbuatan itu, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad melabelkan pertubuhan itu sebagai ‘rasis’ kerana tidak pernah bersetuju dengan apa-apa keputusan kerajaan sebelum ini termasuk pengenalan Sekolah Wawasan yang menempatkan sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah kebangsaan dalam satu kawasan sama.

Isu tersebut mencetuskan kontroversi dan mendapat pelbagai reaksi terutama dalam kalangan warganet yang jelas melihatkan perpaduan negara di ambang kemusnahan ketika itu.

yik

4. Bong Guan Yik

Selain daripada Hanis Nadiah, seorang lagi bekas atlet badminton negara, Bong Guan Yik turut menggemparkan laman media apabila memuat naik video penghinaan terhadap golongan bergama Islam dankaum melayu.

Perkara itu ditujukan kepada barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dikatakan terlampau taksub dengan hal agama sehingga mengabaikan tanggungjawab pemain di bawah naungan kelab itu.

Mengundang kemarahan ramai pihak, Guan Yik pada keesokan harinya bertindak memadam video kontroversi itu dan memuat naik permohonan maaf secara terbuka di laman media.

Merupakan antara tenaga pengajar skuad badminton di China, BAM menggesa Persatuan Badminton China (CBA) mengambil tindakan ke atas pemuda tersebut.

ramasa

5. P. Ramasamy

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy baru-baru ini memuat naik kenyataan berbaur penghinaan apabila mempersoalkan kedudukan orang melayu dalam sektor perkhidmatan awam.

Menggesa agar perkhidmatan awam tidak lagi dikekalkan sepenuhnya di tangan kaum melayu, beliau mendakwa kononnya berlaku elemen diskriminasi terhadap kaum lain di Malaysia khususnya dalam perkhidmatan awam, sedangkan isu penindasan terhadap Melayu-Islam di sektor swasta dan perindustrian, terus dilupakan.

Susulan perkara itu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Ahmad Fadhli Shaari menggesa agar ada tindakan dikenakan kepada P. Ramasamy sambil meyifatkan ia sebagai 'double standard' jika dikaitkan dengan kes Hanis Nadiah.

Ia susulan pemain hoki itu digantung daripada mewakili negara selepas didakwa menghina kaum lain manakala Timbalan Ketua Pulau Pinang itu pula masih mengekalkan jawatannya selepas daripada kenyataan hina yang dimuat naik.

Justeru, diharap kes seperti ini tidak lagi berulang pada masa akan datang dan masyarakat umum juga dituntut agar menjadikan kes-kes tersebut sebagai iktibar serta pengajaran.

Malaysia sebuah negara harmoni dengan pelbagai adat dan budaya yang menyatukan rakyat, maka jika perpaduan gagal dikekalkan nescaya generasi akan datang akan binasa dan tidak mustahil sekiranya tanah air tercinta juga akan kembali dijajah orang asing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram