Dua calon SPM maki pembuat kertas Sejarah sudah kena cekup polis Hulu Selangor


  • 112
  • Sabtu, 25 Feb 2023

Tangkap layar video aksi pelajar terbabit ketika mencaci-maki pembuat kertas soalan di media sosial.

POLIS menahan dua remaja lelaki bagi membantu siasatan video tular, membabitkan pelajar sekolah menengah tidak berpuas hati dengan kertas soalan Sejarah pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, dua remaja berusia 18 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada guru wanita berusia 53 tahun, pukul 10.53 pagi Jumaat.

"Terdahulu, polis mengesan video tular di TikTok dan Facebook di daerah ini (Hulu Selangor), memaparkan seorang pelajar lelaki memakai seragam sekolah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kertas soalan SPM mata pelajaran Sejarah.

"Pelajar itu juga turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pembuat kertas soalan serta menghina Singapura," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Suffian berkata, bertindak atas maklumat, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor melakukan serbuan di rumah suspek dan menahan dua remaja lelaki warga tempatan.

"Polis merampas sebuah telefon bimbit iPhone 11 dalam serbuan itu. Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dan semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Suffian menasihatkan orang ramai supaya menghentikan penyebaran video terbabit, yang menimbulkan kegusaran dan mengelirukan masyarakat sehingga tercetusnya perbalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram