SPM 2022: 403,637 pelajar terlibat mulai 30 Januari hingga 15 Mac


  • Primer
  • Sabtu, 21 Jan 2023

Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.

PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 akan dilaksanakan mulai 30 Januari hingga 15 Mac depan melibatkan ujian amali sains, ujian bertutur, ujian mendengar dan peperiksaan bertulis, demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM dalam satu kenyataan berkata, seramai 403,637 calon akan menduduki peperiksaan bertulis yang diadakan antara 20 Februari hingga 15 Mac.

Ujian Amali Sains (Fizik) akan diadakan pada 30 Januari membabitkan 93,490 calon, Ujian Amali Sains (Biologi) pada 31 Januari membabitkan 74,642 calon, dan pada 2 Februari, seramai 94,672 calon akan menduduki Ujian Amali Sains (Kimia) dan 1,675 pelajar akan menduduki Ujian Amali Sains (Sains Tambahan).

Ujian Bertutur (Bahasa Melayu) akan diadakan pada 7 hingga 9 Februari melibatkan 397,854 calon, manakala Ujian Bertutur (Bahasa Inggeris) pula pada 13 hingga 15 Februari melibatkan 397,057 calon.

Ujian Mendengar (Bahasa Melayu) melibatkan 397,854 calon dan Ujian Mendengar (Bahasa Inggeris) membabitkan 397,057 calon akan diadakan pada 16 Februari.

KPM berkata, seramai 131,318 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut.

"Sebanyak 3,355 pusat peperiksaan disediakan di seluruh negara," katanya.

Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan di pautan http://lp.moe.gov.my.

"Semua calon diingatkan agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung," katanya.

KPM turut mengingatkan calon supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

SPM, KPM, ujian amali, peperiksaan bertulis