'Mansuh Ujian Mendengar SPM', ada sebab pakar bahasa saran perbaiki format peperiksaan


  • Massa
  • Rabu, 22 Feb 2023

Calon pelajar SPM 2022 dikatakan kurang berpuas hati dengan kualiti audio Ujian Mendengar Bahasa Inggeris.

ISU Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 masih hangat diperkatakan dalam kalangan tenaga pengajar, ibu bapa dan pelajar kebelakangan ini.

Lebih membimbangkan, golongan pelajar dilihat menjadi mangsa dalam permasalahan ini dengan isu berkaitan kualiti audio ujian tersebut.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata proses rakaman suara bagi UMBI SPM 2022 dibuat sudah lama dan tidak timbul isu menggunakan pempengaruh TikTok sebagai pelontar suara untuk ujian berkenaan.

Namun, kerisauan masyarakat khususnya calon SPM ketika ini tertumpu kepada keputusan yang bakal diterima kelak dengan rata-ratanya mengharapkan agar ada penurunan gred pemarkahan keseluruhan dalam penilaian nanti.

Malahan, ada pihak berpendapat, penurunan gred markah adalah satu-satunya taktik dan cara pihak kementerian untuk menutup segala kesalahan yang berlaku pada edisi kali ini.

Namun, ahli akademik yang juga pakar bahasa, Prof Madya Dr Zuwati Hasim berkata, dakwaan itu tidak boleh diguna pakai kerana ia merupakan proses yang perlu dijalankan dalam setiap penilaian SPM.

"Dalam penilaian SPM, graf pemarkahan akan dilihat semula bergantung kepada pencapaian keseluruhan.

"Jadi kalau nak kata kementerian nak tutup kesalahan dengan cara itu saya kurang setuju kerana ia memang proses yang biasa dilakukan saban tahun," katanya kepada Majoriti.

Bertitik tolak daripada itu, pensyarah Universiti Malaya itu menyarankan supaya Ujian Mendengar dimansuhkan pada edisi peperiksaan akan datang.

Menurutnya, pelbagai faktor perlu diambil kira dengan isu yang berbangkit baru-baru ini menjadikan ia sebagai kes sesuai supaya format peperiksaan itu dikaji semula.

"Cukup untuk menilai pelajar dengan ujian lisan, membaca, dan menulis, ujian lisan juga memerlukan kemahiran mendengar oleh pelajar.

"Penduduk di luar bandar misalnya masih kekurangan dari segi fasiliti dan yang paling penting taraf pendidikan mereka juga berbeza.

"Gaya Bahasa Inggeris yang digunakan di dalam audio itu mungkin tidak sesuai dengan apa yang dipelajari di kawasan luar bandar, bahasa Inggeris ada pelbagai gaya jadi kementerian perlu selaraskan yang mana sepatutnya diikuti.

Enggan menuding jari ke mana-mana pihak, beliau menjelaskan bahawa peperiksaan ujian lisan ini perlu dikaji dengan terperinci tanpa sebarang kesalahan kerana ia akan menjejaskan semua pihak termasuk tenaga pengajar.

Mengakhiri perbualannya, harapan beliau agar pihak berwajib menjadikan isu ini sebagai pengajaran untuk peperiksaan tahun akan datang dan jangan terus menjadikan pelajar sebagai mangsa dalam isu yang berkaitan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram