Enam bulan tempoh sesuai nilai KPI Menteri Pendidikan — Pakar


  • Massa
  • Jumaat, 24 Feb 2023

Fadhlina bersama murid-murid sekolah menyanyikan lagu negeri Pulau Pinang ketika hadir pada Program Penyerahan Bantuan Persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Nibong Tebal baru-baru ini. — Bernama

SAMA seperti penilaian terhadap seseorang pekerja, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) merupakan antara perkara penting terhadap pemimpin ketika menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat.

KPI 100 hari ditetapkan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan dilaksanakan bagi memastikan setiap menteri Kabinet memperoleh pencapaian cemerlang, ketika mengemudi kementerian masing-masing.

Sejak menteri Kabinet mengangkat sumpah pada 3 Disember tahun lalu, rakyat menghitung hari sehingga hari ke-100 untuk melakukan pemerhatian, sama ada mereka mampu melaksanakan tugas dengan baik atau berdepan dengan kecaman pedas.

Antara menteri yang mendapat tumpuan rakyat apabila dilihat menjalankan tugas dengan baik setakat ini termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu; serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof.

file7orrv9b5o7m1jyqz1hz1

Fadhlina mengadakan sesi bergambar bersama para guru baru-baru ini.

Namun, antara nama yang kerap bermain di bibir rakyat yang mementingkan kemajuan sistem pendidikan sudah semestinya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Hal ini kerana terdapat pelbagai isu pendidikan yang mendapat kegusaran rakyat ketika ini termasuk masalah sekolah terbengkalai dan daif, beban guru, dan terbaharu Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

298808496_10224952243886127_3490341743404666122_n

Anuar Ahmad

Bercakap mengenai pencapaian Menteri Pendidikan ketika ini, Dr Anuar Ahmad berkata, orang ramai perlu memberi masa kepada Fadhlina yang masih baharu menceburi bidang pendidikan.

Apatah lagi, kata pakar pendidikan itu, Fadhlina masih dalam proses memahami sistem pendidikan sekolah.

"Untuk lebih adil dan saksama, kita beri masa dalam tempoh enam bulan dan baru kita boleh lihat bagaimana beliau adapt dalam sistem pendidikan," katanya kepada Majoriti.

Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, anggota Kabinet mengadakan sesi pemukiman (retreat) pada bulan sama.

Katanya, sesi pemukiman itu membolehkan mereka membentangkan pencapaian masing-masing, KPI yang perlu dipenuhi dan rancangan pada masa depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram