PELAJAR yang berdepan dengan masalah berhubung audio Ujian Mendengar Kertas 3 Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang didakwa tidak berkualiti perlu diberi peluang menduduki semula ujian tersebut.
Langkah itu kerana menurut Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Tan Sri Profesor T Marimuthu, kualiti audio yang tidak memberangsangkan gagal didengari secara jelas oleh pelajar.
T Marimuthu
"Ada pelajar akan gagal sebab mereka tidak memahami apa yang sedang terjadi. Ini tidak adil.
"Mereka juga tidak sepatutnya dihukum kerana voice over terlalu cepat. Mereka mungkin patut mengulangi ujian tersebut.
"Selain itu, individu yang lebih fasih (bahasa Inggeris) perlu digantikan untuk melaksanakan tugas berkenaan, " katanya kepada Majoriti.
Zuwati
Sementara itu, Pakar Pendidikan, Prof Madya Dr Zuwati Hasim mendakwa, ramai murid merungut tentang kualiti dan kesesuaian kandungan ujian tersebut, yang disifatkan terlalu pantas dan tidak mengikut sela masa sesuai.
Beliau berkata, kekecewaan itu jelas dan ketara bagi pelajar apabila ada yang turut berkongsi di media sosial.
Katanya, keadaan ini sedikit sebanyak menghantui dan menganggu emosi serta psikologi pelajar yang akan menduduki kertas teras pada Isnin.
"Dari sudut pembentukan soalan, penggubal seharusnya membuat penyaringan bagi memastikan bahan yang digunakan untuk menggubal soalan dan kualiti audio serta kelajuan sebutan adalah sesuai.
"Proses saringan dan kesahan setiap perkara adalah suatu proses yang tiada had.
"Selain itu, penggubal perlu jelas tentang keperluan mengekalkan komunikasi asal atau autentik yang mengambilkira konteks, latar belakang murid, dengan nada dan tempo yang sesuai kepada pendengar," katanya.
Berdasarkan maklum balas pelajar, beliau berkata, arahan yang diberikan bagi ujian mendengar adalah jelas, namun yang menjadi isu dalam kandungan audio itu adalah di bahagian dialog.
Sejajar dengan aduan itu, katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) perlu meneliti semula kesesuaian bahan, dan kesahan soalan yang semestinya akan mempengaruhi pencapaian dan penilaian pelajar.
Lantaran itu, beliau menyarankan untuk melakukan semakan semula sistem peperiksaan bahasa Inggeris dan mengklasifikasikan perkara itu sebagai kes khas.
"Ini termasuk melihat semula sistem penandaan atau keperluan penilaian yang mana komponen mendengar diambil dari komponen bahasa Inggeris.
"Pada masa sama, KPM perlu mengambil kira kesan 'backwash' berhubung langkah-langkah yang diputuskan supaya ketidakadilan kepada calon dapat dielakkan," tambahnya.
Terdahulu, KPM sedang mengumpul maklumat lengkap berhubung rungutan orang berkaitan isu audio tersebut.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan, ribuan calon SPM berdepan tekanan apabila gagal memahami apa yang diperkatakan menerusi audio berkenaan.
Perkara itu mengundang kecaman pelbagai pihak khususnya pelajar yang menduduki peperiksaan subjek itu, yang terpaksa berhadapan risiko memperoleh markah rendah.
Dalam pada itu, media sosial kini tular dengan nama Kamal dan Mariam yang difahamkan antara watak rekaan dalam Ujian Mendengar Kertas 3 subjek tersebut.
Kedua-dua watak berkenaan yang merupakan tunjang utama di dalam penceritaan konteks ujian terbabit, bagaimanapun ia gagal diterima baik oleh pelajar dengan rata-ratanya berpendapat dialog ujian itu terlalu laju dan mengelirukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram