RAKAMAN suara bagi Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 masih lagi menjadi isu panas sehingga ke hari ini.
Ujian tersebut yang berlangsung pada 16 Februari lepas nyata mengundang seribu satu spekulasi dalam kalangan pelajar apabila rata-ratanya mendakwa kualiti audio berkenaan gagal disampaikan dengan baik.
Dakwaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melantik pempengaruh TikTokers sebagai pelontar suara dalam audio tersebut disangkal oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menjelaskan bahawa proses rakaman suara itu sudah lama dibuat dan tiada kaitan dengan individu terbabit.
Namun, timbul pula spekulasi daripada beberapa pihak yang menggesa agar UMBI dimansuh untuk peperiksaan SPM akan datang.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menolak dakwaan berhubung lantikan individu pempengaruh sebagai pelontar suara dalam audio UMBI SPM 2022. — Awani
Ia bertitik tolak daripada keluhan pelajar dan tenaga pengajar yang terkesan dengan isu berbangkit selain turut menerima pelbagai pendapat yang rata-ratanya mahu ia dimansuhkan dalam sistem pengajian di Malaysia.
Di sebalik kecaman hebat yang diterima pihak KPM, segelintir pihak tampil mempertahankan aduan tersebut dengan menyatakan beberapa faktor perlu diambil kira sekiranya ingin meneruskan idea pemansuhan UMBI dalam edisi peperiksaan akan datang.
Tinjauan Majoriti di laman Facebook mendapati beberapa individu tampil dengan kenyataan masing-masing yang nyata kurang bersetuju dengan perkara tersebut.
NurAliya Abdullah berpendapat, kemahiran mendengar merupakan sebahagian daripada kemahiran berbahasa dan antara kriteria yang dituntut dalam sijil di peringkat global.
"Kemahiran mendengar adalah sebahagian daripada kemahiran berbahasa, tambahan pula dalam SPM, Bahasa Inggeris memang dituntut dalam pensijilan di peringkat The Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).
"Lebih baik naik taraf kemudahan fasiliti sistem suara dan kualiti audio dalam ujian tersebut lagi bagus," katanya.
"Sepatutnya buat penambahbaikan, bukan bila ada masalah terus mansuh kalau tidak sampai bila nak maju pelajar negara kita," Norihan Ajis.
Selain daripada isu fasiliti, beberapa individu turut mendakwa kepentingan Bahasa Inggeris sebagai kemahiran pertuturan yang perlu dipertahankan.
"Biar la pelajar belajar mendengar dengan baik, kemahiran mendengar ini boleh dipraktikkan di rumah dan sebagai bahasa pertuturan yang bagus, lagipun kemahiran belajar secara audio lebih baik berbanding visual," jelas Karlina Kelly.
"Bagi la cadangan untuk perbaiki kualiti sumber pekerjaan, kemahiran bertutur dan mendengar memang asas dalam komunikasi apa salahnya kalau dikekalkan, kalau tidak dinilai mana nak tahu tahap penguasaan dan kemahiran calon SPM," tambah Mohd Zainudin Dahri.
Pada Sabtu, Majoriti melaporkan seorang wanita yang menggunakan akaun Sis Madu! mengaku sebagai pemilik suara latar yang memegang watak Mariam menerusi audio ujian tersebut.
Ujian mendengar itu mencetuskan kontroversi selepas terdapat guru dan murid mendakwa sebutan percakapan di dalam audio tersebut tidak jelas sehingga menyebabkan ribuan calon SPM tertekan.
Justeru, pihak KPM digesa untuk memantau segala aduan dan persoalan yang timbul berkaitan isu terbabit dengan generasi muda negara ketika ini kian tertekan dengan isu serupa sejak beberapa edisi lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram