Kes vandalisme sekolah, Fadhlina minta masyarakat beri peluang pelajar jalani intervensi


  • Primer
  • Isnin, 20 Feb 2023

Fadhlina ketika ditemui pemberita SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan, SMK Jalan Empat, Bangi, pada Isnin.

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek berharap agar masyarakat memberi peluang terhadap murid terlibat dalam aktiviti vandalisme di sebuah sekolah di Seberang Perai, Pulau Pinang, seperti yang tular baru-baru ini.

Menurut beliau, siasatan terhadap kes tersebut telah selesai dengan kesemua murid tersebut dan ibu bapa mereka sudah dipanggil bagi menjalani pelbagai sesi intervensi dan kaunseling yang turut melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Jadi selepas ini kita akan lihat hasil daripada kaunseling itu apa yang menyebabkan mereka bertindak begitu. Tapi saya nak ulang beginilah. Ini anak-anak kita.

“Saya fikir kita jangan putus asa. Saya faham ramai yang marah dengan kejadian tersebut tapi saya fikir anak-anak kita ini mesti diberikan peluang untuk didikan teguran dan kaunseling berterusan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa membuat lawatan hari pertama SPM, di Sekolah Menengah Kebangsaan, (SMK) Jalan Empat, Bangi, pada Isnin.

Baru-baru ini, tular dua rakaman video di media sosial memaparkan tindakan beberapa orang murid lelaki merosakkan harta benda sekolah.

WhatsApp Image 2023-02-20 at 10.13.47 AM

Fadhlina menyantuni calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan, (SMK) Jalan Empat, Bangi, pada Isnin.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pengurusan isu disilpin dalam kes berkenaan diserahkan kepada pihak sekolah terbabit dan beliau percaya beberapa tindakan khusus sudah diambil bagi menangani isu vandalisme tersebut.

Dalam pada itu, beliau enggan mendedahkan jumlah pelajar yang dipanggil dalam kes itu kerana mahu melindungi kumpulan terbabit.

Beliau turut mengulangi permintaan agar semua pihak yang menyebarkan video rakaman tular itu supaya menurunkannya daripada media sosial.

“Kalau dah (muat) naik, kita minta turunkan (padam) sebab kita memang nak jaga anak-anak ini supaya mereka dapat diberikan kaunseling. Kita bimbang jika ia terus disebarkan akan ganggu proses intervensi,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram