Sah TikTokers! Audio UMBI SPM dirakam sebelum bergelar 'influencer'


  • Primer
  • Isnin, 20 Feb 2023

Fadhlina Sidek menjelaskan isu penggunaan pelantun suara TikTokers dalam UMBI SPM 2022.

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan bahawa proses rakaman suara bagi audio digunakan untuk Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 telah dibuat lama sebelum ini.

Disebabkan itu, beliau berkata, tidak timbul isu bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggunakan khidmat pempengaruh TikTok bagi tujuan merakam audio terbabit.

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LP) pada Ahad menafikan dakwaan penggunaan TikTokers sebagai pelontar suara audio UMBI peperiksaan SPM 2022 yang dijalankan pada 16 Februari lalu.

Dalam satu kenyataan, lembaga itu berkata, pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM 2022 terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti.

"Saya nak buat penegasan semula bahawa pertamanya kenyataan itu kita telah beri penjelasan. Saya rasa cukup jelas bahawa proses ujian ini merakam atau merekod telah pun dilaksanakan lebih awal.

"Jadi tidak timbul isu TikTokers tersebut," katanya ketika ditemui pemberita semasa membuat lawatan hari pertama SPM, di Sekolah Menengah Kebangsaan, (SMK) Jalan Empat, Bangi, pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab mengenai isu pengakuan seorang TikTokers yang mengaku sebagai antara individu menyaksikan individu menyumbang suara dalam audio digunakan semasa UMBI SPM kali ini.

Pada Sabtu, Majoriti melaporkan seorang wanita yang menggunakan akaun Sis Madu! mengaku sebagai pemilik suara latar yang memegang watak Mariam menerusi audio ujian tersebut.

Ujian mendengar itu mencetuskan kontroversi selepas terdapat guru dan murid mendakwa sebutan percakapan di dalam audio tersebut tidak jelas sehingga menyebabkan ribuan calon SPM tertekan.

Fadhlina berkata, LP dan KPM sememangnya sentiasa memberi penekanan terhadap tahap integriti meliputi keseluruhan aspek termasuk kesahan, kesahihan dan kredibiliti suara yang dirakamkan.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu turut menyatakan bahawa beliau mengambil maklum akan aduan berkenaan isu tersebut.

"Insha-ALLAH akan tambah baik dari masa ke semasa sebab proses merekod ini dah berlaku lama lagi.

"Jadi proses itu berlaku sebelum (timbul) soal TikTokers ini lagi," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram