KPM nafi pelontar suara UMBI SPM 2022 milik TikTokers


  • Primer
  • Ahad, 19 Feb 2023

Tangkap layar pengakuan seorang wanita menggunakan akaun Sis Madu! yang mengaku sebagai pemilik memegang dan melontarkan audio suara sebagai watak Mariam dalam UMBI SPM2022.

LEMBAGA Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan bahawa Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 dilaksanakan baru-baru ini menggunakan khidmat TikTokers sebagai pelontar suara audio.

LP dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, pelontar suara digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM pada kali ini terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti.

"Pelontar suara merupakan mereka yang berwibawa dalam berbahasa Inggeris. Mereka yang terlibat juga telah diberikan latihan sebelum proses pembinaan item atau instrumen UMBI SPM Tahun 2022.

"Sehubungan dengan itu, LP yakin bahawa kualiti bahan audio dan kertas soalan UMBI SPM tahun 2022 kekal utuh.

"LP akan memastikan kepentingan dan keadilan kepada calon yang menduduki peperiksaan SPM tahun 2022 adalah terjamin," kata kenyataan itu.

Pada Sabtu, Majoriti melaporkan, ribuan calon SPM berdepan tekanan selepas gagal memahami dengan jelas audio UMBI dalam peperiksanaan tersebut yang didakwa menggunakan khidmat pempengaruh TikTok.

Ekoran daripada itu, media sosial turut tular dengan nama Kamal dan Mariam, difahamkan antara watak rekaan dalam ujian mendengar subjek bahasa inggeris itu.

Kedua-dua watak berkenaan yang merupakan tunjang utama dalam penceritaan konteks ujian terbabit gagal diterima baik oleh pelajar dengan rata-ratanya berpendapat dialog ujian itu terlalu laju dan mengelirukan.

Pada masa sama, tinjauan Majoriti mendapati seorang wanita menggunakan akaun Sis Madu! mengaku sebagai pemilik memegang watak Mariam menerusi audio ujian tersebut.

Pengakuan itu dibuat selepas dia ditanya oleh salah seorang pengguna yang dipercayai pelajar SPM yang mengecam suaranya.

LP berkata, keputusan lembaga dalam penggunaan bahan audio dan kertas soalan UMBI SPM tahun 2022 dibuat berdasarkan empat pertimbangan pertama, format soalan pelbagai bentuk terdiri daripada objektif aneka pilihan, objektif pelbagai bentuk dan subjektif respons terhad.

Menurutnya, berdasarkan format itu, UMBI SPM memerlukan calon mendengar, menganalisis konteks situasi dan memahami maksud keseluruhan bahan audio dimainkan.

Pertimbangan kedua diambil kira LP adalah memastikan item atau instrumen dibina mencapai tahap kebolehtadbiran, keesahan, kebolehpercayaan dan kewibawaan.

"Tahap ini diberikan perhatian agar item atau instrumen tersebut adalah adil dan saksama kepada calon," ujarnya.

Ketiga, lembaga itu menjelaskan, kadar kelajuan pertuturan pelontar suara bagi item atau instrumen adalah berdasarkan aras kompetensi Common European Framework of References for Languages (CEFR).

Tambahnya, pembinaan item atau instrumen ujian pendengan berkenaan juga mengambil kira kadar kelajuan pertuturan yang tipikal dan standard pertuturan dan perbualan serta turut menekankan aspek autentik penutur dalam pembinaan item atau instrumen UMBI SPM tahun 2022 bagi mewujudkan konteks sebenar komunikasi.

Keempat. LP turut mengadakan praujian melibatkan murid sekolah di pelbagai lokasi sama ada bandar dan luar bandar bagi menentusahkan item atau instrumen adalah sesuai dan mencapai tahap kualiti ditetapkan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram