Payung Rahmah untuk bas sekolah, KPDN akan bincang dengan Kementerian Pengangkutan dan bank


  • Primer
  • Isnin, 20 Feb 2023

Salahuddin tidak menolak kemungkinan untuk turut memasukkan perkhidmatan pengangkutan bas atau van sekolah di bawah program Payung Rahmah.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak menolak kemungkinan untuk turut memasukkan perkhidmatan pengangkutan bas atau van sekolah di bawah program Payung Rahmah.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu bersama Kementerian Pengangkutan dan termasuk pihak perbankan.

"Ini kerana ia memerlukan perbincangan yang agak mendalam, jadi saya tak berani nak sebut.

"Saya akan uruskan libat urusankan dengan pihak perbankan. Mana-mana bank yang untung berpuluh bilion ringgit setiap tahun ini juga akan menawarkan Payung Rahmah untuk rakyat.

"Saya akan adakan libat urus, tapi biarkan saya selesaikan yang terdekat tentang jualan Baju Rahmah dan Bazar Ramadan Rahmah yang akan kita laksanakan masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Program Jualan Rahmah AEON BiG di AEON Wangsa Maju, Kuala Lumpur, pada Isnin.

file7fkt189hbn9le2h4g8 (1)

Perkhidmatan pengangkutan bas atau van sekolah mungkin akan dilibatkan di bawah Program Rahmah. — Gambar hiasan

Inisiatif Payung Rahmah merupakan program yang diusahakan kerajaan bagi membantu rakyat Malaysia menangani kenaikan kos sara hidup.

Pada 31 Januari lalu, Salahuddin memberi jaminan bahawa, kerajaan akan melaksanakan kesemua inisiatif di bawah program Payung Rahmah selewat-lewatnya Mac ini.

Katanya, ia merangkumi penyediaan bakul makanan, pakej barangan, menu dan kafe Rahmah.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, hampir kesemua pasaraya utama di dalam negara bersetuju untuk turut serta dalam program di bawah Payung Rahmah.

Majoriti sebelum ini mencadangkan agar selain daripada Menu Rahmah, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan bantuan bas sekolah sebagai sebahagian daripada pakej di bawah Payung Rahmah.

Ia dikemukakan dengan mengambil kira pengenalan bantuan program bas sekolah percuma (MySchoolBus) yang dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Inisiatif digerakkan majlis bandaraya itu bertujuan bagi mengurangkan beban rakyat apabila berlakunya kenaikan tambang bas sekolah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram