Selain turunkan harga barang, ini 3 lagi senario perlu dikaji kerajaan jika tak benar keluarkan KWSP


  • Primer
  • Isnin, 13 Feb 2023

Kerajaan disaran untuk mengkaji semula penurunan harga makanan asas. — Gambar hiasan

RAKYAT ketika ini terpaksa melupakan angan-angan untuk mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), apabila kerajaan sukar untuk merealisasikannya.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mengkaji alternatif membantu rakyat yang menghadapi masalah kewangan berikutan peningkatan kos sara hidup.

Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berkata, pencarum sudah beberapa kali membuat pengeluaran KWSP sebelum ini, dan keadaan ini pastinya menyebabkan wang persaraan mereka semakin berkurangan.

Katanya, kerajaan juga sedang mencari jalan penyelesaian lain yang tidak akan membebankan pekerja apabila mereka bersara kelak.

Meskipun kenyataan itu menyebabkan orang ramai berdepan kekecewaan, berikut antara langkah disarankan kepada kerajaan bagi mengurangkan beban kehidupan rakyat ketika ini:

1. Buka lebih banyak peluang pekerjaan dan menaikkan gaji

file7nzeemzmr2h8jqk2lqx

Sesi temuduga secara bersemuka diadakan ketika karnival kerjaya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor pada Disember lalu.

Khamis lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa sektor tenaga buruh negara semakin pulih pada Disember 2022, dengan mencatatkan kadar pengangguran yang lebih rendah pada 3.6 peratus membabitkan 599,600 orang penganggur, manakala guna tenaga terus meningkat.

Meskipun begitu, jumlah penggangguran yang hampir mencecah 600,000 orang itu dilihat sebagai jumlah yang agak besar dan masih membimbangkan rakyat tempatan.

Apatah lagi, kerajaan pada Januari lalu memaklumkan bahawa, seramai 500,000 pekerja asing bakal dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat bagi lima sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).

Lantaran itu, langkah membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan mengutamakan rakyat tempatan antara perkara yang perlu dititikberatkan.

Ini termasuk mengadakan lebih banyak karnival kerjaya dan melonggarkan syarat kemasukan bagi sesuatu jawatan.

Bagi rakyat yang sudah mendapat pekerjaan, kenaikan gaji secara tahunan selain penambahan bonus sudah tentu sedikit sebanyak membantu menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

2. Modal perniagaan

file7km74uith5ja8ok7ik

Suasana di bazar Ramadan di Putrajaya pada tahun lalu.

Tatkala bantuan kewangan secara one-off sering kali diperuntukkan kepada rakyat, namun langkah itu dilihat hanya akan membantu dalam jangka masa pendek.

Hal ini kerana lama-kelamaan wang yang digunakan akan habis digunakan dan menyebabkan rakyat sering 'dahagakan' bantuan kewangan berterusan.

Oleh itu, salah satu langkah untuk mengatasi perkara tersebut adalah dengan membenarkan rakyat negara ini memulakan perniagaan, menerusi modal kewangan yang diperuntukkan oleh kerajaan.

Langkah ini seterusnya membolehkan rakyat memikirkan sendiri kaedah untuk menambah pendapatan mereka menerusi perniagaan tanpa bantuan kewangan berterusan.

3. Berniaga tanpa lesen

file7kfoci4d9f7nuv7a5xm

Kebenaran perniagaan tanpa lesen akan membantu mengurangkan beban kewangan rakyat.

Pada Januari 2021, Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Tan Sri Annuar Musa memastikan penjaja dan peniaga di Putrajaya dan Kuala Lumpur menjalankan perniagaan dalam tempoh darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau dilapor berkata, lesen perniagaan secara percuma kepada penjaja yang ingin berniaga juga akan terus diberikan.

Langkah yang dilakukan oleh Annuar Musa itu mungkin boleh diguna pakai kerajaan ketika ini, yang mana rakyat tempatan tidak lagi perlu berniaga menggunakan lesen dalam tempoh dan syarat tertentu.

Ini sudah tentu mampu menambat semula hati rakyat untuk berniaga tanpa sebarang syarat ketat.

Tambahan pula, bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi bakal menyaksikan ramai umat Islam di negara ini mahu menambah pendapatan bagi menyambut perayaan.

4. Turunkan harga barangan

file7imr6dtcsh2xnk3c9c

Pekerja di sebuah pasar raya sedang membetulkan tanda harga di bahagian makanan.

Awal bulan ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub melancarkan insiatif Menu Rahmah membabitkan 15,000 premis menjual makanan, bagi membolehkan masyarakat B40 mendapatkan hidangan pada harga RM5.

Antara jenama terkenal yang sudah melancarkan Menu Rahmah termasuk pasar raya besar Mydin dan restoran Burger King.

file7owumvfj4s0y7dm6hcu

Menu Rahmah antara langkah kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Meskipun langkah itu membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, namun menu tersebut kebanyakannya dilihat hanya sesuai bagi individu bujang.

Jika sekalipun individu tersebut masih belum berkeluarga, sampai bila amalan makan di luar akan berterusan?

Sudah tentu ada di antara mereka yang berkeinginan untuk memasak sendiri di rumah dengan tujuan lebih menjimatkan kos perbelanjaan.

Maka, kerajaan juga disaran untuk mengkaji semula penurunan harga makanan asas seperti beras, susu, telur, dan minyak masak.

Apabila harga barangan meningkat, rakyat yang berpendapatan rendah terpaksa mengikat perut dan berfikir masak-masak terlebih dahulu sebelum membeli barangan sama.

Ini sekali gus akan menyebabkan kerugian kepada para peniaga yang dijangka kehilangan pelanggan tetap ke premis mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram