KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan berkompromi terhadap tahap kualiti makanan yang dihidangkan di bawah porgram Menu Rahmah.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub juga berkata, beliau percaya tiada mana-mana peniaga atau syarikat menyertai inisiatif itu akan mensabotaj atau menyalah guna usaha baik kerajaan dalam membantu meringankan tekanan kos sara hidup dihadapi rakyat terutamanya daripada kumpulan B40.
"Saya tidak percaya ada syarikat yang namanya besar atau individu yang dia memang meniaga hatta di warung kecil di kampung ingin berkompromi dengan kualiti.
"Contohnya ikan yang busuk, sayur yang sudah dicampak tepi jalan untuk dimasak bagi Menu Rahmah, saya tak fikir begitu.
"Saya yakin rakyat Malaysia apa bangsa, agama sekalipun apa apabila mereka nak buat Menu Rahmah atau jualan Rahmah, mereka tidak berkompromi tentang kualiti dan kuantiti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran program Jualan Rahmah AEON BiG di AEON Wangsa Maju, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Berkenaan dakwaan kemungkinan wujudnya unsur sabotaj terhadap Menu Rahmah daripada mana-mana pihak sehingga berisiko membahayakan kesihatan, Salahuddin berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada rakyat untuk membuat penilaian sendiri.
"Saya rasa isu itu biarlah rakyat menilainya. Seperti saya sebut tidak akan adalah (sabotaj) Insya-ALLAH rakyat Malaysia yang bertanggungjawab yang nak buat perangai membuat menu didakwa itu," ujarnya.
Dalam pada itu, Salahuddin turut menyatakan keyakinannya berhubung keupayaan inisiatif itu untuk terus dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan akan datang di tengah-tengah kenaikan harga barangan mentah di dalam negara.
"Komponen Rahmah itu adalah berasakan tiga komponen asas iaitu beras, ikan atau ayam dan sayur-sayuran.
"Sebagai bekas Menteri Pertanian, saya rasa tak mungkin dalam masa tiga bulan beras naik RM10. Tak mungkin harga sayur naik mendadak lima hingga enam kali ganda. Begitu juga dengan harga ayam.
"Jadi saya yakin dan percaya sekiranya harga yang ada pada hari ini tidak naik melampau, menu Rahmah masih boleh bertahan," ujarnya.
Meskipun mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai sejak pengenalannya baru-baru ini, terdapat pihak melahirkan kebimbangan terhadap kemampuan perniagaan untuk terus menyokong inisiatif tersebut bagi satu tempoh yang lama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram