PERSIDANGAN Dewan Rakyat pada Selasa tertumpu kepada kedudukan terkini jumlah hutang negara, bantuan Malaysia kepada kerajaan Turkiye dan Syria berikutan bencana gempa bumi serta isu kes rasuah.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, soalan berkenaan akan dijawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Bagi soalan berkaitan hutang negara yang dibangkitkan Wong Kah Woh (PH-Taiping), beliau turut meminta Perdana Menteri menyatakan punca kenaikan hutang negara setiap tahun serta usaha kerajaan menyelesaikannya.
Ketika menjawab soalan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan mengambil langkah dengan memperbaiki jawatan kelola kerana antara perbelanjaan bilion ringgit yang hilang adalah disebabkan pengurusan yang lemah dan ketirisan.
"Disebabkan hutang negara lebih tinggi daripada pertumbuhan negara, langkah lain yang diambil adalah memastikan asas hasil ditambah dan mengkaji semula kaedah perbelanjaan awam tanpa membebankan rakyat terutamanya dalam bidang pendidikan, kesihatan dan keperluan asas.
"Kerajaan juga tidak bercadang untuk memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta cukai kepenggunaan berasas luas yang lain bagi menangani isu hutang negara.
"Langkah lain akan diambil dalam usaha mengurangkan perbelanjaan dan menyelesaikan liabiliti dan hutang kerajaan yang kini mencecah RM1.5 trilion, mewakili 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Suasana pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada Isnin. — Foto Bernama
Namun begitu, dengan keadaan harga barang yang meningkat dari masa ke semasa menyebabkan rakyat semakin tertekan ekoran ekonomi yang semakin tidak stabil.
Manakan tidak, walaupun Program Menu Rahmah diperkenalkan, namun ia dilihat tidak membantu golongan B40 yang mempunyai keluarga besar. sebaliknya dilihat memberi kelebihan kepada orang bujang sahaja.
Selain itu, inisiatif tersebut dilihat tidak memberi impak kepada penduduk luar bandar terutamanya yang tinggal di kawasan pendalaman. Sehubungan itu ramai yang menggesa Kerajaan Perpaduan untuk menurunkan harga barang.
Malahan, rakyat juga mahu Kerajaan Perpaduan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin bagi mengelak tekanan hidup berterusan berikutan kos sara hidup yang semakin tinggi bukannya memberi alasan tidak munasabah.
Melalui pemerhatian Majoriti di media sosial, Home Mall meminta kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat terlebih dahulu daripada memikirkan masalah hutang negara kerana isu tersebut sering dijadikan alasan sejak dahulu lagi.
"Boleh fikir hutang negara tetapi rakyat pula bagaimana? Habis rakyat Malaysia yang sedang tertekan, tenat dengan bebanan hutang ini macam mana?" soalnya.
Sementara itu, Jpkk Tok Jembal memohon supaya kerajaan di bawah kepimpinan Ahli Parlimen Tambun bersikap tegas dengan pendirian mereka semasa menjadi pembangkang.
"Hutang negara alasan lapuk. Dulu masa menjadi pembangkang bukan main lagi tembak kerajaan tetapi bila sudah memerintah, buat pelbagai alasan," katanya.
Seorang lagi pengguna media sosial Mizi Mizi berkata, kerajaan seperti tidak ambil peduli dengan keadaan rakyat apabila isu hutang negara sering kali dipolitikkan.
"Rakyat punya hutang ada ke menteri peduli dengan hanya berbekalkan basic RM1,500?" tulisnya.
Mohd Yusofi pula berasakan kerajaan sepatutnya memikirkan rakyat terlebih dahulu sebelum membahaskan topik hutang negara dan memberikan bantuan kepada negara luar.
"Sibuk sangat dengan hal luar negara, selepas itu berhutang sana sini. Menteri-menteri ini sepatutnya tunjuk selesaikan masalah rakyat dahulu baru hebat," katanya.
Mael Danial pula membandingkan Kerajaan Perpaduan sepatutnya mengikut jejak bekas Perdana Menteri yang memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti kedai 1 Malaysia, klinik 1 Malaysia dan pelbagai lagi program membantu rakyat.
"Hutang negara yang difikirkan, sepatutnya fikirkan isu tarik pelabur ke Malaysia. Dulu zaman Rumah PR1MA. PMX tak nak buat kedai Rahmah ke untuk rakyat? katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram