BARU-BARU ini kerajaan melancarkan Menu Rahmah khusus untuk golongan miskin tegar bagi mengurangi beban rakyat yang kini dihimpit dengan keadaan ekonomi tidak menentu.
Menu Rahmah dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub baru-baru ini di Subang Jaya, Selangor.
Inisiatif itu dilancarkan kerajaan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Perkara itu mendapat sambutan baik dari pelbagai pihak apabila lebih 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan B40.
Namun, langkah kerajaan menyediakan Menu Rahmah perlu diperluas untuk mengurangkan beban rakyat, malah turut membantu mereka berjimat.
Selain Menu Rahmah, ini merupakan tiga cadangan bantuan perlu diwujudkan kerajaan untuk lebih membantu rakyat bagi mengurangkan beban.
Bantuan bas sekolah ini patut diwujudkan kerajaan secara bersasar.
1. Bantuan bas sekolah
Baru-baru ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mengumumkan bantuan program bas sekolah percuma (MySchoolBus) bagi sesi persekolahan bermula tahun ini sehingga 2024.
Ini merupakan salah satu inisiatif DBKL untuk mengurangkan beban rakyat apabila berlakunya kenaikan tambang bas sekolah.
Bantuan bas sekolah ini patut diwujudkan kerajaan secara bersasar demi meringankan beban rakyat yang terhimpit dengan kesan ekonomi.
Seperti contoh kerajaan boleh wujudkan bas sekolah percuma seperti yang dilakukan DBKL ataupun mengenakan tambang yang lebih murah berbanding sekarang.
Ini kerana kenaikan tambang bas sekolah disifatkan melampau sehingga menimbulkan kegelisahan ibu bapa serta penjaga seluruh negara.
Kerajaan boleh pertimbangkan berikan perjalanan percuma kepada pelajar, warga emas, pesara dan golongan OKU.
2. Pengangkutan awam
Selain makanan, kerajaan turut perlu memandang ke arah pengangkutan awam kerana ia merupakan kegunaan harian rakyat untuk ke tempat kerja.
Kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan untuk memberikan perjalanan percuma kepada pelajar, warga emas, pesara dan golongan orang kurang upaya (OKU).
Bagi golongan B40 pula, kerajaan boleh memberikan subsidi supaya lebih dapat meringankan beban rakyat.
Namun fasiliti atau kemudahan pengangkutan awam haruslah diselenggara dengan baik semoga dapat menarik ramai orang menggunakannya.
Fahmi Fadzil mengumumkan pakej baharu Jalur Lebar Tetap bertujuan menyediakan internet mampu milik.
3. Kuota internet percuma
Pada Khamis, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan pakej baharu Jalur Lebar Tetap bertujuan menyediakan internet mampu milik bagi golongan B40, veteran, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.
Namun alangkah baiknya internet diberikan secara percuma untuk golongan B40, veteran, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.
Ini kerana kuota internet percuma dapat memudahkan sebarang urusan rasmi yang melibatkan agensi kerajaan.
Lagipun pakej baharu Jalur Lebar Tetap yang diperkenalkan itu masih dianggap mahal memandang ada jenama yang menawarkan pakej lebih murah.
Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob.
Mengulas cadangan inisiatif itu, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, beliau bersetuju dengan cadangan jika kerajaan meperluaskan lagi program seperti Menu Rahmah ke arah lain seperti pengangkutan awam dan bas sekolah.
"Jika kerajaan tidak dapat melaksanakan bantuan bas sekolah atau pengangkutan awam itu dengan percuma, saya harap mereka dapat melakukannya dengan bersubsidi.
"Tambang bas bersubsidi sebenarnya boleh diwujudkan kerana sebelum ini subsidi bas percuma pernah diwujudkan dahulu untuk anak-anak penjawat awam," katanya pada Majoriti.
Menyentuh soal pengangkutan awam, dia berharap syarikat dapat menyediakan pas bulanan lebih murah untuk golongan B40, veteran, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.
"Saya berharap syarikat pengangkutan awam dapat menyediakan pas bulanan yang lebih murah untuk golongan yang terkesan dengan ekonomi semasa.
"Fasiliti pengangkutan awam turut perlu dijaga supaya dapat menarik perhatian orang ramai untuk terus menggunakan khidmat," ujarnya.
Dr Abu Sofian turut menyentuh tentang pakej baharu Jalur Lebar Tetap yang dikatakan dapat membantu rakyat.
"Bagi pendapat saya harga internet yang ditawarkan pakej baharu Jalur Lebar Tetap itu masih mahal kerana RM70.
"Malah pakej itu turut membuatkan pelanggan terikat dengan kontrak selama dua tahun, sepatutnya tidak perlu sebarang kontrak dikenakan.
"Bagi pandangan saya harga yang lebih berpatutan ialah sekitar RM30," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram