Kualiti audio, kertas soalan UMBI SPM 2022 kekal utuh atas 4 penjelasan LP KPM


  • Primer
  • Ahad, 19 Feb 2023

Calon SPM berdepan tekanan selepas gagal memahami audio UMBI dalam peperiksaan tersebut yang didakwa menggunakan khidmat pempengaruh TikTok.

LEMBAGA Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan bahawa pelaksanaan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 yang dijalankan pada 16 Februari lalu menggunakan TikTokers sebagai pelontar suara audio.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, LP memaklumkan bahawa pelontar suara digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM pada kali ini terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti.

Pelontar suara merupakan mereka yang berwibawa dalam berbahasa Inggeris. Mereka yang terlibat juga telah diberikan latihan sebelum proses pembinaan item atau instrumen UMBI SPM Tahun 2022.

"Sehubungan dengan itu, LP yakin bahawa kualiti bahan audio dan kertas soalan UMBI SPM tahun 2022 kekal utuh.

"LP akan memastikan kepentingan dan keadilan kepada calon yang menduduki peperiksaan SPM tahun 2022 adalah terjamin," menurut kenyataan itu.

Pada Sabtu, Majoriti melaporkan, ribuan calon SPM berdepan tekanan selepas gagal memahami audio UMBI dalam peperiksaan tersebut yang didakwa menggunakan khidmat pempengaruh TikTok.

Perkara itu telah mengundang kecaman pelbagai pihak khususnya pelajar yang menduduki peperiksaan subjek itu memandangkan ia berpotensi memberi kesan terhadap markah bakal diperolehi.

LP berkata, keputusan lembaga itu menggunakan bahan audio dan kertas soalan UMBI SPM tahun 2022 dibuat berdasarkan antaranya pertimbangan format soalan pelbagai bentuk terdiri daripada objektif aneka pilihan, objektif pelbagai bentuk dan subjektif respons terhad.

Oleh itu katanya, UMBI SPM memerlukan calon mendengar, menganalisis konteks situasi dan memahami maksud keseluruhan bahan audio dimainkan.

"LP juga memastikan item atau instrumen yang dibina mencapai tahap kebolehtadbiran, keesahan, kebolehpercayaan dan kewibawaan. Tahap ini diberikan perhatian agar item atau instrumen tersebut adalah adil dan saksama kepada calon," ujar kenyataan itu lagi.

Lembaga itu berkata, kadar kelajuan pertuturan pelontar suara bagi item atau instrumen adalah berdasarkan aras kompetensi Common European Framework of References for Languages (CEFR).

Jelasnya, pembinaan item atau instrumen UMBI SPM Tahun 2022 ini berdasarkan kadar kelajuan pertuturan yang tipikal dan standard pertuturan dan perbualan di samping penekanan terhadap aspek autentik penutur dalam pembinaan item atau instrumen UMBI SPM tahun 2022 bagi mewujudkan konteks sebenar komunikasi.

"Praujian juga telah diadakan dan melibatkan murid sekolah di pelbagai lokasi sama ada bandar dan luar bandar bagi menentusahkan item atau instrumen adalah sesuai dan mencapai tahap kualiti yang ditetapkan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram