Isu audio Ujian Mendengar BI SPM tak jelas dapat perhatian KPM


  • Primer
  • Sabtu, 18 Feb 2023

Tangkap layar hantaran luahan perasaan tidak puas hati para pelajar di laman TikTok berhubung audio ujian tersebut.

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengumpul maklumat lengkap berhubung rungutan orang ramai berkaitan audio Ujian Mendengar Kertas 3 Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang didakwa tidak berkualiti dan gagal didengari dengan baik oleh pelajar.

Kementerian itu berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan sekiranya maklumat lengkap sudah diterima.

"Kami akan maklumkan dalam masa terdekat," katanya ringkas kepada Majoriti.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan, ribuan calon SPM berdepan tekanan apabila gagal memahami audio berkenaan.

Perkara itu mengundang kecaman pelbagai pihak khususnya pelajar yang menduduki peperiksaan subjek itu, yang terpaksa berhadapan risiko memperoleh markah rendah.

Dalam pada itu, media sosial kini tular dengan nama Kamal dan Mariam yang difahamkan antara watak rekaan dalam Ujian Mendengar Kertas 3 subjek tersebut.

Kedua-dua watak berkenaan yang merupakan tunjang utama di dalam penceritaan konteks ujian terbabit, bagaimanapun ia gagal diterima baik oleh pelajar dengan rata-ratanya berpendapat dialog ujian itu terlalu laju dan mengelirukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram