Isu audio SPM: Tiktokers tak bersalah, KPM perlu teliti 5 perkara


  • Massa
  • Ahad, 19 Feb 2023

Rata-rata calon SPM kurang berpuas hati dengan kualiti audio bagi Ujian Mendengar Kertas 3 Bahasa Inggeris.

CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2022 ketika ini sedang hangat memperkatakan individu pempengaruh yang dilantik oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebagai suara latar audio dalam Ujian Mendengar Kertas 3 Bahasa Inggeris pada Khamis lalu.

Gagal menyampaikan dengan baik dan jelas, ujian tersebut dikatakan gagal diduduki dengan cemerlang oleh ribuan pelajar kerana mendakwa teks yang dibacakan terlampau laju dan sukar untuk difahami.

Susulan itu, pihak yang terkesan secara langsung dan tidak langsung terutama tenaga pengajar dan pelajar rancak menghukum figura laman TikTok yang memegang watak 'Mariam' menerusi ujian berkenaan.

Namun, persepsi tersebut mula menemui jalan damai apabila segelintirnya berfikiran secara rasional melihat masalah itu daripada sudut lain yang seharusnya tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya terhadap pempengaruh tersebut.

Hanya menjalankan tugas seperti diarahkan, ada berpendapat perkara itu seharusnya dilihat secara menyeluruh dengan pihak atasan sewajarnya dipertanggungjawabkan dalam isu berbangkit.

Berikut merupakan lima punca dan permasalahan utama yang perlu diteliti berhubung isu tersebut.

1. Peranan pihak KPM

Masyarakat mempersoalkan tahap dan pemantauan yang dijalankan oleh pihak KPM terhadap rakaman audio terbabit dengan beberapa faktor mula dipertikaikan.

KPM sepatutnya lebih tegas dalam mengeluarkan panduan terhadap pempengaruh berkenaan agar dialog yang dilontarkan lebih teratur dan memenuhi keperluan calon peperiksaan.

Syarat ketat seharusnya perlu dikeluarkan bagi individu yang ditugaskan untuk membaca teks tersebut untuk memastikan hanya yang layak dan profesional melaksanakannya.

2. Kenal pasti siapa pendengar

Luahan pelajar di laman media rata-ratanya berpendapat gaya bahasa dan lenggok percakapan dalam audio tersebut tidak setaraf dengan pendidikan pelajar sekolah tingkatan lima.

Terlampau laju dan sukar untuk difahami, audio ujian itu seharusnya bersifat ringkas dan mudah difahami kerana ia bukan sekadar bacaan biasa malah bertujuan untuk menyampaikan maklumat kepada si pendengar.

Tidak dinafikan Bahasa Inggeris sememangnya memiliki gaya bahasa berbeza-beza namun, pihak berwajib seharusnya menetapkan panduan yang mudah untuk diikuti sekali gus seiring dengan taraf pelajar peringkat sekolah.

3. Tahap penilaian edisi lepas

Ujian Mendengar sudah menjadi ketetapan dalam SPM susulan format baharu yang dirangka KPM dan ia sewajarnya semakin bertambah baik dari tahun-tahun yang terdahulu.

Golongan pendidik dan ibu bapa menggesa agar kejadian ini dijadikan sebagai pengajaran, yang mana ia sepatutnya terlebih dahulu menjalani satu proses penambahbaikan bagi mengelak insiden ini berulang.

Sehubungan itu, pihak yang bertanggungjawab perlu melakukan pemeriksaan semula terhadap segala isu 'serupa' yang berbangkit dalam ujian mendengar berkenaan.

4. SOP cubaan rakaman

Ada pihak turut mempersoalkan bahawa rakaman itu seolah-olah dilakukan secara sambil lewa tanpa ulang cubaan daripada si penyumbang suara.

Setiap apa yang dilakukan perlu melalui proses percubaan bagi menghasilkan sesuatu yang berkualiti.

Namun perkara itu diyakini tidak dilakukan oleh pihak berwajib dengan rakaman audio tersebut dikatakan terlampau laju, sekali gus mengakibatkan calon peperiksaan gagal mendengar dengan baik ditambah pula dengan bunyi gema dalam dewan yang menghancurkan audio tersebut.

5. Individu kelulusan pengajian tinggi

Tidak dinafikan, individu yang ditugaskan oleh kementerian juga memainkan peranan besar dalam hal ini.

Enggan menuding jari kepada mana-mana pihak, pemilihan pemilik suara bagi audio tersebut seharusnya diamanahkan kepada golongan berkelulusan yang mendapat pengiktirafan daripada KPM dan para guru.

Status pempengaruh yang ditugaskan sedikit sebanyak mengundang masalah dalam persepsi guru, pelajar mahupun ibu bapa yang mengetahui akan hal terbabit apabila rata-ratanya menjangkakan ia dijalankan oleh seseorang yang lebih arif..

Justeru, diharap agar pihak KPM khususnya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek lebih peka dengan isu yang berbangkit sejak beberapa hari lepas.

Masa hadapan generasi muda bertitik tolak daripada peperiksaan SPM dan sebaiknya pihak atasan perlu kreatif dalam menangani isu berbangkit sekali gus membuat keputusan yang tepat di masa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram