Guna Tiktokers, audio Ujian Mendengar BI SPM didakwa tak berkualiti, ribuan pelajar, guru stres persiapan terjejas


  • Massa
  • Sabtu, 18 Feb 2023

Tangkap layar luahan pelajar susulan ujian mendengar Bahasa Inggeris peperiksaan SPM yang dikatakan kurang jelas.

MUNGKIN hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membawa kelainan dengan mengikut trend semasa, tetapi khidmat pempengaruh menerusi platform Tiktok telah mencetuskan situasi luar jangka dalam kalangan pelajar dan guru.

Ribuan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tertekan apabila audio Ujian Mendengar Kertas 3 Bahasa Inggeris pada Khamis lalu tidak berkualiti dengan sebutan percakapan tidak jelas.

Penggunaan Tiktokers dikatakan memberi impak kepada situasi ini hinggakan ada yang meluahkan perasaan tertekan menerusi media sosial dengan memuat naik video menconteng muka merujuk kepada pempengaruh, yang dilantik Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) kerana tidak puas hati dengan cara pengendalian kertas berkenaan.

"Mulanya tidak faham tapi selepas mendapatkan maklum balas pelajar barulah kami jelas apa maksud video conteng muka itu.

"Pelajar stres audio tak jelas menyebabkan mereka sukar jawab soalan BI," demikian kata beberapa sumber dalam kalangan guru dan pelajar SPM.

Malahan, ada yang menganggap usaha kementerian mengadakan kursus format baharu SPM akhirnya tidak memberi kesan.

"Menerusi kursus itu ditunjukkan video guru mengendalikan Ujian Lisan tetapi sekarang LPM memilih TikTokers pula.

"Ada mana-mana pihak yang boleh jelaskan hal ini? Apa sebenarnya masalah LPM apabila memilih Tiktokers berbanding guru yang terbukti mampu melaksanakannya," demikian luah seorang guru yang begitu kesal dengan apa yang berlaku.

Seorang lagi guru bersikap rasional apabila berpendapat tidak salah memilih pempengaruh untuk tugasan itu, tetapi yang penting ia dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Kalau dah seluruh Malaysia terkesan dengan cara pertuturan yang laju, baik bawa jet.

"Lagi pun LPM tak ada ke pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan perkara penting ini," katanya yang menganggap banyak masa dan usaha yang dilakukan untuk mempersiapkan pelajar terjejas kerana penghasilan bahan yang tidak berkualiti itu.

Pihak Majoriti dalam usaha untuk mendapatkan maklum balas pihak KPM berhubung perkara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram