Mansuh pertandingan, anjur majlis antara 7 usaha KPM kurang beban guru


  • Primer
  • Jumaat, 17 Feb 2023

KPM akan memansuhkan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat.

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) bersetuju untuk melaksanakan beberapa usaha bagi mengurangkan tekanan dan bebanan yang dihadapi oleh para guru.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Salleh berkata, ia antara lain memansuhkan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid.

Beliau berkata, ini termasuk pelaksanaan pertandingan keceriaan pusat sumber dan tandas tercantik, Bilik Operasi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) terbaik dan seumpamanya.

"Malah, KPM juga akan mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang melibatkan guru kepada setahun sekali sahaja.

"KPM juga menetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid lebih fleksibel kepada guru iaitu 12 tengah hari untuk sesi pagi dan 5 petang untuk sesi petang bagi mengelakkan kesesakan dalam sistem," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

file7jxvwi8i43lwhqkldsa

Lantikan pengawas peperiksaan awam akan terbuka kepada individu lain yang memenuhi kriteria.

Fadhlina berkata, pelantikan pengawas peperiksaan awam yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) juga akan terbuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat.

Beliau berkata, ia melibatkan individu seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidikan Tinggi (IPT), tetapi perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Kita juga menghadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja, selain menetapkan ringkasan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) di peringkat KPM," jelasnya.

file6de9owp1nd117vd9xkq7

Murid Sekolah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (4), Petaling Jaya, Selangor bersemangat memuatkan troli bersama buku teks untuk dibawa pulang ke bilik darjah, pada hari pertama persekolahan pada 2 Januari 2014.

Pada masa sama, KPM juga akan memperkukuh autonomi guru dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah (PBD) dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan.

"KPM akan terus mendukung dan memberikan tumpuan kepada tujuh teras utama dalam hasrat melahirkan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

"Justeru, dalam teras kelima yang memfokuskan kepada isu kebajikan termasuk tekanan yang dihadapi oleh para guru, KPM bersetuju untuk melaksanakan langkah segera’hasil daripada laporan awal diterima seperti dinyatakan," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram