'Kamal', 'Mariam' bikin pelajar SPM gugup jawab Kertas 3 BI, tiba-tiba dengar ala-ala muzik rap, hip-hop


  • Massa
  • Sabtu, 18 Feb 2023

Tangkap layar komen negatif pelajar berhubung audio Kamal dan Mariam dalam Ujian Mendengar Bahasa Inggeris peperiksaan SPM.

RIBUAN calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa berhadapan tekanan, apabila audio Ujian Mendengar Kertas 3 Bahasa Inggeris pada Khamis lalu dikatakan tidak berkualiti dan gagal didengari dengan baik oleh pelajar.

Perkara itu mengundang kecaman pelbagai pihak khususnya bagi pelajar yang menduduki peperiksaan itu yang terpaksa berhadapan dengan risiko pemerkahan rendah dalam ujian berkenaan.

Dalam pada itu, media sosial kini tular dengan nama Kamal dan Mariam yang difahamkan antara watak rekaan dalam Ujian Mendengar Kertas 3 subjek tersebut.

Kedua-dua watak berkenaan yang merupakan tunjang utama di dalam penceritaan konteks ujian terbabit bagaimanapun gagal diterima baik oleh pelajar dengan rata-ratanya berpendapat dialog ujian itu terlampau laju dan mengelirukan pendengar.

Segelintir pelajar beranggapan, audio tersebut saling tidak tumpah seperti nyanyian hip-hop atau rap yang semakin digilai golongan remaja masa kini.

Tinjauan Majoriti di laman media sosial mendapati, kebanyakan pelajar berkongsi perkara tersebut dan meluahkan kegusaran masing-masing berhubung audio Ujian Mendengar bagi kertas Bahasa Inggeris yang diduduki.

"Hampir putus asa dengan Kamal dan Mariam, langsung cakap sepatah tak boleh faham sebab terlampau laju, ini dikira aniaya pelajar namanya," kata cxer0_.

Terlampau berbelit dan laju, susah kami yang calon SPM ni nak dengar lagi ditambah pula dengan gema di dewan peperiksaan, memang tak jelas kalau yang duduk belakang," ujar Ara Misnan.

Sementara itu, tidak kurang juga yang berpendapat bahawa Ujian Mendengar Bahasa Melayu jauh lebih mudah dan baik daripada Bahasa Inggeris.

"BM keluar kelas semua bising tapi bila ujian BI semua senyap hilang mood sebab tak dapat dengar jelas apa audio tu main," tambah Nanaz008.

"Aku harap biar semua sependapat dengan perkara ini, jadi gred purata pemarkahan akan menurun dan semua dapat lulus pun dikira lega," Shaza Athira.

Malahan, ada calon SPM yang memuat naik gambar mereka menconteng muka umpama Tiktokers yang meminjamkan suaranya untuk ujian berkenaan, juga calon peperiksaan itu juga mula mengumpul maklumat berkaitan pempengaruh terbabit.

Dalam pada itu, penggunaan khidmat Tiktokers sebagai jurucakap bagi audio Ujian Mendengar tersebut dikatakan menjadi punca utama dalam permasalahan ini.

Pempengaruh yang dilantik Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) nyata mengundang ribuan kecaman di laman media apabila pelajar mula memuat naik video serta hantaran berunsur negatif terhadap individu terbabit.

Pihak Majoriti dalam usaha untuk mendapatkan maklum balas pihak KPM berhubung perkara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram