Dakwa susah nak dapat kerja kerajaan di Kelantan, 'Biasalah kena ada kabel'


  • Massa
  • Khamis, 16 Feb 2023

Netizen mendakwa, sektor pekerjaan di Kelantan mengamalkan budaya nepotisme. — Gambar hiasan

NEGARA baru-baru ini heboh apabila Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P. Ramasamy meminta kerajaan melaksanakan reformasi dalam perkhidmatan awam kerana kononnya didominasi orang Melayu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya tidak menyahut cadangan itu kerana tidak menganggap dominasi kaum Melayu dalam sektor berkenaan sebagai satu masalah.

Sementara itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menegaskan tiada diskriminasi kaum dalam urusan pengambilan penjawat awam di negara ini, manakala semua warga Malaysia mempunyai peluang sama untuk dipertimbangkan dalam persaingan terbuka dan adil.

Belum pun seminggu kenyataan Ramasamy mendapat tentangan, rakyat pula tampil mengadu bahawa sektor kerajaan di Kelantan pula mengamalkan nepotisme.

file7n5nlm08gnk1cv1limo7

Ada yang mendakwa, penemuduga sekadar berlakon ketika melakukan sesi temuduga, sedangkan mereka sudah memiliki calon tersendiri untuk diambil bekerja. — Gambar hiasan

Baru-baru ini, seorang pengguna laman Facebook yang hanya dikenali sebagai Abu Garcia, meluahkan rasa kesal apabila mengalami kesukaran mendapat pekerjaan di negeri itu.

Katanya, golongan anak muda antara yang paling terkesan apabila mereka terpaksa menggunakan kaedah lama untuk mengisi borang memohon pekerjaan yang berharga RM3.

"Padahal sekarang ni sudah zaman digital. Kita beli borang untuk mereka ambil untung sahaja, sedangkan mereka sudah ada calon-calon untuk diambil bekerja. Biasalah 'cable' diutamakan.

"Temuduga kita hanya sekadar berlakon sahaja. Sampai bila mereka nak guna sistem macam itu? Kasihan dekat individu yang bersungguh-sungguh nak kerja dan ambil macam-macam kursus untuk penuhi syarat-syarat masuk kerja.

"Dari segi kos pula, ada yang terpaksa bayar borang, fotostat sijil-sijil, ambil gambar pasport dekat kedai gambar, kenderaan ulang alik nak pergi temuduga. Akhirnya 'cable' juga diambil bekerja.

"Inilah yang dinamakan tidak amanah dalam membuat pemilihan pekerja. Tak pelik kenapa negeri kita ni jauh ketinggalan," tulisnya dalam loghat Kelantan.

Pandangan itu dipersetujui oleh rata-rata anak Kelantan, yang antara lain Mohd Noor berkata: "Memang kena utamakan anak-beranak dulu. Dalam kitab ada royat gitu."

Anis Azmiera menulis: "Betul. Saya setuju dengan ayat awak tu. Sebab tu saya dulu lebih suka merantau negeri luar dari kerja dalam Kelantan. Sebab kes macam inilah, ada 'cable' bereh lalu. Kita yang tak ada 'cable' dengan tengah-tengah panas lagi nak pergi interview untuk cari kerja. Yang guna 'cable' pakai macam itu je."

Fadhli Adnan berkata: "Setuju dengan anda. Kebanyakannya pakai 'cable' anak-beranak, bawa masuk adik lah, ipar lah, binilah. Yang ada kemahiran boleh buat kerja diketepikan. Bukan tak bersyukur tapi dengan keadaan ekonomi sekarang ni duit cepat habis macam air mengalir. Pah kata sep Kelate milih kijo. Ibarat gitu la merempat di negeri sendiri."

file5vi0wzb92s39zi5gp5y

Kesukaran mendapat pekerjaan di Kelantan menyebabkan ramai penduduk berhijrah ke luar negeri.

Jelas Eiyla Ila Idir: "Betul tu, ambo sokong gapo demo oyak. Kelate memang payah duk amik anak-beranak jah kijo. Isi borang dua tahun tak pangil-panggil sampai sudah. Last mitok kijo luar negeri Kelate. Paka boleh lalu molek-molek kijo."

Tambah Nor Haida: "Saya setuju dengan apa yang ditulis. Gaji masih tidak berpatutan dengan masa kerja yang panjang. Lagi satu, orang Kelantan ni kalau kaya nak kaya seorang saja dengan anak-beranak mereka. Paling tak masuk akal mereka bagi sehari RM10. Sungguh tak logik zaman sekarang. Entahlah, letih tengok situasi di Kelantan."

Terdahulu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menjadi tumpuan apabila dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada bapanya, Anwar.

Selain mengundang perasaan tidak puas hati, ramai yang mengaitkan lantikan itu dengan amalan nepotisme.

Anwar kemudian menjelaskan, anaknya tidak akan menerima sebarang elaun dan beliau sendiri mempelawa Nurul Izzah untuk membantunya sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.

Tidak lama kemudian, Nurul Izzah mengesahkan bahawa beliau tidak lagi memegang jawatan tersebut, sebaliknya menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan, yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Hassan Marican. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram