BELUM pun reda dengan isu pemecatan beberapa ahli popular Umno daripada parti politik tertua negara, timbul satu lagi perkara yang menjadi bualan warganet.
Perkara itu adalah keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melantiknya anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri.
Tujuan lantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk membantunya sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.
Anwar juga menegaskan bahawa tiada sebarang bayaran elaun akan dibuat kepada Nurul Izzah.
Seorang warganet, Nur Azlan Kamal berkata, bukan masalah bayaran atau kelayakan, sebaliknya sudah timbul bunga-bunga yang menampakkan amalan nepotisme berlaku.
"Nepotisme mesti dielak walaupun sebenarnya mungkin tidak berlaku. Tujuannya supaya perkara ini tidak menjadi alasan orang lain untuk menirunya," katanya.
Bersetuju dengan perkara tersebut ialah Iqbal Idham yang berkata, soal integriti dan nepotisme yang menjadi persoalan utama kini kerana ramai lagi tokoh PKR atau badan bukan kerajaan (NGO) pro kerajaan yang lebih layak.
"Jika tiada gaji atau elaun, lebih banyak ruang terbuka untuk buat perkara tidak sepatutnya," katanya.
Seorang lagi warganet, Ubaidullah Badrulhisam berkata, tidak kisah sama ada jawatan itu bergaji atau tidak, sebaliknya perkara ini akan menjadi konflik kepentingan.
Shah Qhaliff pula merasakan, bukan masalah elaun dan gaji, sebaliknya soal ekonomi negara biarlah diserahkan kepada mereka yang pakar.
"Jangan digadaikan jawatan negara. Kami rakyat pembayar cukai tak kisah jika dibayar gaji pada pakar yang berkelayakan demi ekonomi negara kembali pulih," katanya.
Seorang lagi warganet, Abdul Rashid Mohd Yusoff berkata, tidak dibayar gaji atau sebarang elaun bukan justifikasi untuk menghalalkan sebarang pelantikan yang berunsur tiada berintergriti.
"Apa yang dilaungkan kepada keseluruhan rakyat dan juga di pentas luar negara bahawa integriti amatlah penting dan akan jadi tunjang kerajaan tetapi apa yang dilakukan kini bercanggah sama sekali dengan slogan Malaysia Madani," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram